Ganabatirau utama lima perkara jika menang PRU15

V Ganabatirau
V Ganabatirau
A
A
A

KLANG - Lima perkara penting akan diberikan keutamaan oleh calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Klang jika berjaya mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

V Ganabatirau berkata, beliau akan meneruskan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memperbaiki sistem pengurusan banjir di sekitar bandar Klang.

"Sehingga kini, saya masih menjalankan perbincangan dan pemantauan terhadap gerak kerja JPS bagi menangani masalah banjir di kawasan Kota Kemuning termasuk Sri Muda.

"Saya sentiasa memantau tahap pembaikan dan pengoperasian pam air yang boleh mengalirkan air banjir jauh dari kawasan bandar dan taman perumahan.

"Walaupun pam tersebut masih belum dapat beroperasi secara sempurna, namun usaha masih diteruskan dan akhirnya projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang sepanjang 54 kilometer dengan nilaian RM700 juta telah dimulakan pada 1 November," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning berkata, perkara kedua adalah warga Klang tidak memerlukan pemeriksaan perubatan percuma seperti dijanjikan calon Perikatan Nasional (PN).

"Ini kerana kerajaan negeri Selangor telah lama memulakan bantuan Kad Peduli Sihat bagi warga kurang mampu untuk mendapatkan rawatan segera, malah PH telah memberikan perkhidmatan rawatan percuma sejak tahun 2018.

"Apa yang saya akan lakukan adalah supaya memperluaskan pelaksanaan skim ini dengan memastikan lebih ramai masyarakat sasaran di bandar Klang berdaftar dan menikmati kemudahan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ganabatirau juga berazam akan meningkatkan operasi perkhidmatan bas percuma untuk memudahkan pergerakan orang awam terutamanya kanak-kanak, warga emas, golongan yang sakit di bandar Klang.

"Bilangan bas percuma juga akan ditambah mengikut kemampuan kewangan dari semasa ke semasa dan perkara keempat adalah mengadakan infrastruktur asas moden dan canggih di Klang," katanya.

Beliau berkata, bandar Klang merupakan Bandar Diraja, maka infrastruktur di bandar berkenaan perlu menunjukkan status tersebut dan berubah wajah daripada menjadi bandar tua kepada bandar yang serba moden.

"Heritage Walk diperkenalkan semasa menjadi ADUN juga akan diperluaskan dan akan dinaik taraf supaya bandar Klang boleh bertukar menjadi bandar tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.

"Ia dapat menaikkan imej bandar Klang di samping membawa manfaat kepada warga bandar Klang," katanya.

Katanya lagi, perkara kelima pula adalah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia untuk memastikan bandar Klang menjadi bandar yang selamat untuk diduduki.

"Sasaran 'sifar jenayah' akan menjadi tumpuan utama dan akan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baik untuk mengawal perbuatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan seterusnya meningkatkan keyakinan warga kota supaya bebas bergerak tanpa sebarang perasaan takut.

"Kesemua ini akan dilakukan dengan sedaya upaya yang ada bagi memenuhi hasrat dan harapan warga bandar Klang," katanya.