Patuhi semua syarat MBJB semasa berkempen

Mohd Noorazam ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Johor Bahru, pada Rabu.
Mohd Noorazam ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) perlu mematuhi semua syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) semasa berkempen.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, peraturan itu melibatkan pemasangan bendera, gegantung, poster, iklan atau apa-apa bahan kempen bagi memastikan tidak menimbulkan kacau ganggu, risiko kemalangan, atau kekotoran.

"Pihak MBJB akan mengeluarkan Permit Mempamerkan Iklan Pilihan Raya kepada calon-calon yang membuat permohonan ke MBJB di Aras 5, Menara MBJB, Bukit Senyum di sini.

Permohonan bermula 30 Oktober lalu sehingga 3 November ini. Borang permohonan percuma. Semua calon diingatkan mengemukakan salinan kad pengenalan calon semasa menghantar permohonan.

"Borang permohonan yang lengkap boleh diserahkan ke kaunter Jabatan Pelesenan beserta bayaran deposit RM5,000 bagi setiap permohonan," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, pada Rabu.

Beliau berkata, permit dikeluarkan setelah bayaran deposit dijelaskan sepenuhnya dan akan dikeluarkan atas nama calon tersebut.

Sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu katanya, MBJB mengharapkan semua parti politik dapat mematuhi tatacara pemasangan iklan pilihan raya sebagaimana aku janji yang ditandatangani.

"Tiap-tiap pemegang permit hendaklah mencabut atau mengalihkan segala jenis iklan pilihan raya yang dipamerkan dalam masa tujuh hari selepas hari mengundi," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, antara larangan lain yang perlu dipatuhi setiap parti politik ialah tidak boleh mempamerkan bahan iklan pilihan raya sehingga menghalang isyarat lalu lintas, tanda arah atau lampu jalan.

Jelas Mohd Noorazam, begitu juga tidak boleh mempamerkan iklan pilihan raya yang merintangi mana-mana jalan atau bangunan yang boleh mencacatkan permukaan bangunan atau struktur tersebut termasuk tidak memasang bahan iklan di jajaran jalan protokol dalam kawasan bandar raya.

Menurutnya, urusan pilihan raya tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil Iklan Pilihanraya (Majlis Perbandaran Johor Bahru) 1990 dan Undang-undang Kecil Iklan Pilihanraya (Majlis Bandaraya Johor Bahru) (Pindaan) 2020 serta syarat-syarat dan arahan lain yang dikeluarkan MBJB dari semasa ke semasa.

"Saya berharap semua pihak memberikan kerjasama yang baik dalam pematuhan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa agar perjalanan PRU15 berlangsung dengan lancar, teratur dan selamat," tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau meningatkan bahawa penggunaan dewan-dewan, premis atau apa-apa fasiliti milik MBJB bagi tujuan kempen, perjumpaan, mesyuarat atau lain-lain aktiviti berkaitan politik atau parti-parti politik adalah dibenarkan.

Namun ujarnya, penggunaan kemudahan itu hanya dibenarkan dengan syarat bayaran penuh kadar sewaan dewan mesti dibuat kepada pihak MBJB terlebih dahulu.