BN kekalkan lima Exco Perak tanding DUN

Dari kiri; Ahmad Saidi, Mohd Zolkafly, Khairul Shahril, Wan Norashikin dan Shahrul Zaman.
Dari kiri; Ahmad Saidi, Mohd Zolkafly, Khairul Shahril, Wan Norashikin dan Shahrul Zaman.
A
A
A

IPOH - Lima barisan Exco Kerajaan Negeri Perak dari BN kekal sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka adalah Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Turut tersenarai, Exco Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Mohd Zolkafly yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Perak bertanding di kerusi DUN Lintang yang disandang sejak PRU13.

Shahrul Zaman juga kekal bertanding di DUN Rungkup yang dimenanginya sejak 2013.

Wan Norashikin yang merupakan Ketua Wanita UMNO Perak diberi tanggungjawab untuk mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Kampung Gajah.

Nasib sama juga kepada Khairul Shahril dan Ahmad Saidi, masing-masing kekal bertanding di kerusi DUN Bota dan Changkat Jering yang dimenangi pada PRU14 lepas.

Kesemua mereka dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2020 dalam pentadbiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama lima lagi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) iaitu dua daripada Pas dan tiga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan pada PRU14 lepas, BN menang di 27 kerusi kesemuanya menerusi calon UMNO.