Kawalan pengunjung lemah punca tragedi Itaewon

Duck Soo pada sidang akhbar di Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA
Duck Soo pada sidang akhbar di Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA
A
A
A
SEOUL - Rempuhan orang ramai yang berlaku pada malam Sabtu di daerah Itaewon, Korea Selatan semasa perayaan Halloween sebahagiannya berpunca daripada pengurusan orang ramai yang lemah, menurut Perdana Menteri, Han Duck Soo pada Selasa.

"Satu daripada punca utama (kejadian itu) adalah pengurusan orang ramai, dengan (Korea Selatan) kurang mendapat sokongan institusi dan tiada tindakan sistematik yang mencukupi," kata Duck Soo pada sidang akhbar bersama wartawan asing di Seoul, lapor Xinhua.

Duck Soo berkata, walaupun lebih ramai pegawai polis dikerahkan ke Itaewon, ia mempunyai kuasa yang terhad untuk mengawal orang ramai susulan tiadanya peraturan lengkap untuk tujuan itu.

Beliau berikrar untuk mempertingkat peraturan yang berkaitan bagi mengelak bencana seperti itu berulang, sambil menyatakan bahawa punca kejadian itu akan diketahui selepas polis menyelesaikan siasatan.

Sekurang-kurangnya 156 orang terbunuh dan 151 lagi cedera dalam insiden terburuk di negara itu sejak peristiwa feri karam pada April 2014 menyebabkan 304 terkorban, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada orang ramai yang masuk ke lorong berbukit yang sempit dan terjatuh di daerah hiburan malam yang popular di Seoul.



Kebanyakan mangsa berumur belasan tahun, 20-an dan 30-an apabila lebih 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk meraikan Halloween tanpa pelitup muka, acara terbesar di negara itu sejak penularan wabak Covid-19 pada 2020.

Kekurangan pegawai polis untuk mengawal orang ramai yang terperangkap dan terhimpit di jalan sesak dipercayai mencetuskan insiden terbabit.

Menurut polis 137 anggota digerakkan untuk acara Halloween pada Sabtu. - Bernama

Artikel Berkaitan: