Otai UMNO dijangka buat 'come back' di Kedah

Dari kiri, Mashitah, Mahdzir, Othman dan Jamil.
Dari kiri, Mashitah, Mahdzir, Othman dan Jamil.
A
A
A

ALOR SETAR - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka akan dibarisi beberapa pemimpin heavyweight UMNO yang akan membuat penampilan semula sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen.

Kedah dikatakan tidak terkecuali apabila dua pemimpin berpengaruh yang juga 'orang lama' dalam parti dicanang membuat ‘come back’ untuk menjadi calon di kerusi yang pernah disandang mahupun diletakkan di kerusi yang menjadi sasaran untuk menang.

Spekulasi mengatakan calon otai wanita yang popular sedikit masa lalu akan menjadi pertaruhan UMNO semula pada PRU15 meskipun pada awalnya tidak tersenarai.

UMNO Kedah dijangka mempertaruhkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim bagi memeriahkan saingan PRU15.

Bekas ahli Parlimen Baling itu disebut-sebut akan diletakkan di kerusi Parlimen Kuala Kedah sekali gus mengenepikan calon pilihan sebelum ini yang begitu sinonim di kawasan tersebut, Dr Zaki Zamani Abd Rashid.

Dalam PRU 2004, Mashitah mengalahkan calon Pas, iaitu bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib dengan majoriti 4,229 undi. Selepas menang pilihan raya, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri.

Di peringkat akar umbi pula, Mashitah merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling namun agak menyepi kebelakangan ini.

Sumber memberitahu, keputusan ini agak mengejutkan kerana hanya diputuskan di saat akhir, sedangkan Dr Zaki Zamani yang merupakan pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah telah bergerak aktif sebaik diberikan mandat susulan Ketua Bahagian, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

“Percaturan ini agak mengelirukan, tak pasti kenapa beliau dibawa ke kawasan lain dan bukan bertanding di kawasannya di Baling. Sedangkan UMNO mempunyai tokoh lain yang tidak kurang hebatnya dan calon muda di Kuala Kedah.

“Sekiranya mahu bawa calon luar ke Kuala Kedah, seeloknya pilihlah yang muda dan berkebolehan. Mungkin juga ia antara strategi parti untuk tarik undi golongan wanita, agamawan selain mahu berikan proses rejuvenasi atau 'meremajakan' calon di kawasan berkenaan,” katanya.

Spekulasi berkenaan dikuatkan lagi dengan status yang dimuat naik oleh Dr Zaki Zamani di Facebook miliknya dengan kata-kata, “Kuala Kedah untuk orang Kuala Kedah, calon luar kami tak mau”.

Biarpun ia protes senyap, namun difahamkan beberapa orang kuat UMNO Bahagian tersebut turut tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Sama ada spekulasi ini menjadi kenyataan, hanya akan terjawab malam ini (Selasa) pada majlis pengumuman calon BN di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

Selain Mashitah, calon otai yang akan kembali diketengahkan ialah Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jerai.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri ini pernah memenangi PRU13 mengalahkan calon Pas dan menjadi Ahli Parlimen Jerai selama sepenggal namun tewas pada PRU14.

Manakala Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz sekali lagi dijangka berentap dengan penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Othman merupakan orang lama yang berpengalaman dalam PRU dan pernah menang kerusi Parlimen Jerlun pada 2013, seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan I pada 2016-2018. Manakala pada 2008 dan 2004, beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam.

Seorang lagi otai yang masih berbisa dan diramal dapat mengekalkan kemenangan di Kedah ialah, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau dijangka dikekalkan di kerusi sedia ada, Padang Terap disebabkan prestasi cemerlang sama ada dalam pentadbiran kerajaan mahupun parti.

Bekas Menteri Besar Kedah ini merupakan calon popular di kawasan beliau dan dijangka tidak berdepan saingan sengit seperti pada PRU-PRU lepas.

Ini termasuk mengekalkan penyandang Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim di kawasan sama, susulan Ketua UMNO Bahagian Baling ini mempunyai pengaruh dan sokongan yang kuat di kawasan.

UMNO Kedah juga dijangka memperkenalkan calon muka baharu namun dikenali ramai di Langkawi, dan pertama kali menerjah dunia politik selepas bersara.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Datuk Armishah Siraj mencatat sejarah tersendiri apabila pernah bertugas bawah pentadbiran tiga Menteri Besar Kedah yang berbeza parti politik, masing-masing dua dari BN dan Pas.

Tiga calon wanita yang disebut-sebut bakal diangkat sebagai calon termasuk, Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob (Pendang); Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Yusof (Sungai Petani) serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Sik, Maizatul Akmam Othman (Sik).

Muka-muka baharu yang dijangka dipertaruhkan ialah Datuk Muhar Hussain di kerusi Kulim/Bandar Baharu; Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok); Datuk Hasmuni Hasan (Kubang Pasu); Noran Zamani Jamaludin (Pokok Sena) serta wakil MCA, Tan Chee Hiong (Alor Setar) selain wakil MIC, Datuk C Selvaraj (Padang Serai).