Penduduk resah projek balak dibiar ancam keselamatan

Penduduk menunjukkan jarak tanaman yang terlalu hampir dengan rumah mereka.
Penduduk menunjukkan jarak tanaman yang terlalu hampir dengan rumah mereka.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pihak bertanggungjawab digesa menyelenggara kira-kira 2,500 pokok balak dekat Masjid Sultan Abdul Halim di sini yang dikhuatiri mengancam keselamatan awam.

Projek penanaman di Taman Ria Jaya dikatakan berusia hampir lapan tahun itu dipercayai telah capai tempoh matang iaitu lima tahun, namun dibiarkan tumbuh sehingga melebihi ketinggian rumah dan masjid yang boleh mendatangkan bahaya terutama ketika musim hujan dan ribut.

Pesara guru, Suhaimi Yusuf, 62, mendakwa, kedudukan pokok yang ditanam di tanah lapang belakang masjid itu terlalu hampir dengan perumahan penduduk, mendatangkan ketakutan terutama risiko pokok tumbang.

Penduduk menggesa pihak bertanggungjawab melakukan penyelenggaraan bagi memastikan tahap keselamatan terjamin.
Penduduk menggesa pihak bertanggungjawab melakukan penyelenggaraan bagi memastikan tahap keselamatan terjamin.

"Sebelum ini ada kes ribut sehingga dahan patah mengenai kabel elektrik.

"Saya sendiri pernah tangkap anak ular sawa yang berkeliaran sehingga ke halaman rumah jiran, kemungkinan telah wujud habitat haiwan liar di kawasan penanaman yang langsung tidak diselenggara dengan baik, saya lihat anjing liar pun semakin banyak keluar masuk dari situ," dakwanya.

Menurut Suhaimi, kawasan itu juga disyaki menjadi 'port' jenayah dan penyalahgunaan dadah memandangkan terdapat pagar yang diceroboh serta dikatakan pernah menjadi sasaran pihak berkuasa melakukan operasi tangkapan.

Sementara itu, Mohd Khalid Alaudin, 61, mendakwa, akibat pokok yang ditanam terlalu rendang menyebabkan ranting kayu serta daun luruh memenuhi bumbung rumah.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, keadaan itu menyebabkan palung yang sepatutnya berfungsi sebagai saluran air hujan, telah tersumbat sehingga berlaku kebocoran siling.

"Kebanyakan penduduk perlu keluarkan modal sendiri baiki bumbung, siling dan membayar upah cuci akibat palung tersumbat, kos ini sangat membebankan, jika dibiarkan, kemungkinan kerosakan jadi lebih besar.

"Anak saya sendiri pernah berdepan situasi cemas apabila dahan kayu jatuh di hadapan semasa memandu kereta, mujur tiada kecederaan, kita tak mahu berlaku sesuatu yang buruk, baru pihak berkenaan nak bertindak.

"Selama ini pokok-pokok tumbang, penduduk juga terpaksa bergotong-royong cuci kawasan, tetapi sampai bila?," dakwanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian turut mendapati kedudukan tapak projek yang bertentangan rumah penduduk mengundang risiko bahaya.

Keadaan tanaman yang dikatakan tidak diselenggara dengan baik sehingga mendatangkan risiko kepada penduduk.
Keadaan tanaman yang dikatakan tidak diselenggara dengan baik sehingga mendatangkan risiko kepada penduduk.

Selain itu, terdapat juga kesan dahan pokok tumbang yang tidak dibersihkan selain longgokan sampah di tepi jalan.

Difahamkan, projek penanaman yang disertai kira-kira 30 peserta itu dijanjikan pulangan dana sebaik sahaja hasil dijual kepada industri.

Bagaimanapun, keadaan tanaman yang tidak terurus serta dibiar tumbuh tanpa penyelenggaraan telah mendatangkan bahaya kepada penduduk dan orang awam yang lalu-lalang.

Sinar Harian pada April lalu pernah menyuarakan aduan sama namun sehingga kini penduduk mendakwa tiada sebarang tindakan penebangan mahupun penyelenggaraan dilakukan pihak berkenaan.

Penduduk berharap agar pendedahan dibuat dapat membuka mata pihak bertanggungjawab bagi memastikan aspek keselamatan awam terjamin.