Ingatkan bahu terkehel rupanya hidap barah tulang

Muhammad Adli tidak menyangka sakit bahu yang dihadapi adalah barah tulang selepas disahkan doktor perubatan pada 12 September lalu.
Muhammad Adli tidak menyangka sakit bahu yang dihadapi adalah barah tulang selepas disahkan doktor perubatan pada 12 September lalu.
A
A
A

KUANTAN - Kehidupan seorang pekerja am di sebuah syarikat minyak dan gas di Gebeng di sini berubah dalam sekelip mata selepas disahkan menghidap penyakit barah tulang hampir dua bulan lalu.

Dahulunya, Muhammad Adli Azahar, 29, seorang yang kuat bekerja, namun terpaksa berhenti pada Mac lalu kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialami pada bahu kanannya itu.

Menurutnya, pada awalnya kesakitan yang dialami bahu kanannya itu dianggap sekadar terkehel biasa dan cuba mendapatkan rawatan tradisional dengan kaedah berurut.

"Selepas itu, sakit masih terasa dan bahu semakin membengkak memaksa saya menjalankan pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Ketika itu, doktor hanya maklumkan saya mengalami bahu membeku dan dibekalkan ubat tahan sakit sahaja.

"Bagaimanapun, kesakitan bahu semakin serius hingga saya sukar tidur dan akhirnya saya ambil keputusan berhenti kerja kerana tidak mampu menahan sakit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Balok Sejahtera di sini pada Selasa.

Muhammad Adli berkata, pemeriksaan kali kedua HTAA pada 19 Ogos lalu dan sehari selepas itu dia dirujuk ke Klinik Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Indera Mahkota.

Katanya, doktor telah menjalankan ujian X-ray, CT Scan, Magnetic Resonance Imaging (MRI), mengambil sampel darah dan daging bagi mengesan penyakit yang dihidapinya.

"Hasil pemeriksaan itu, pakar perubatan mengesahkan saya menghidap barah tulang atau Ostesarcoma pada 12 September lalu.

Artikel Berkaitan:

"Luruh gantung saya ketika itu, gelap dunia saya buat seketika kerana saya ingat kesakitan dan bengkak dialami hanya patah biasa dan apabila pasang skru, ia akan baik. Tapi ALLAH uji sebaliknya," kata Muhammad yang sudah berkahwin.

Nurul Effa Syamira membantu menguruskan suaminya yang memerlukan penjagaan rapi.
Nurul Effa Syamira membantu menguruskan suaminya yang memerlukan penjagaan rapi.

Menurutnya, bengkak di bahunya membesar dengan cepat dalam tempoh dua bulan dan kini hampir menyamai saiz sebiji bola.

Jelas Muhammad Adli, disebabkan itu pergerakannya semakin terbatas sehingga memerlukan penjagaan rapi daripada isterinya, Nurul Effa Syamira Faimi, 25.

Katanya, disebabkan penyakitnya semakin serius, dia perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang ketumbuhan yang semakin membesar itu.

Bagaimanapun, kata anak sulung dari lima beradik itu, keputusan untuk melakukan pembedahan itu hanya dapat diketahui selepas menjalani rawatan kemoterapi yang keempat.

"Saya baru buat dua sesi kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur daripada 11 sesi itu. Saya dimaklumkan selepas sesi ke empat, saya akan melakukan prosedur MRI, CT Scan dan ujian darah sekali lagi sebelum doktor membuat keputusan mengenai pembedahan implan besi.

"Kalau ikutkan harga besi (menggantikan tulang) sahaja RM38,000, tidak termasuk kos pembedahan, caj rawatan, kos ubat-ubatan, makanan kesihatan, kos perjalanan bagi rawatan susulan yang perlu ditanggung.

"Saya tiada duit simpanan untuk menampung semua kos itu dan kini bergantung harap bantuan daripada ibu dan saudara mara sahaja," katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dengan menghubungi Muhammad Adli di talian 017-907 5973 atau melalui akaun CIMB bernombor 7607317219 atas namanya.