Zahidi tolak calon luar

Zahidi
Zahidi
A
A
A

KANGAR - Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mahu ikut ‘senarai sendiri’ jika tidak tercalon untuk mempertahankan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, beliau akan menolak calon muka baharu yang tidak direstui pengundi dan ahli parti di kawasan Parlimen yang disandangnya sebelum ini.

“Dalam mesyuarat UMNO Bahagian Padang Besar, mereka (ahli parti) mahu supaya saya kekal bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar.

“Kalau saya tidak dicalonkan pada PRU15, saya akan ‘senarai sendiri’. Saya akan cari jalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi mengenai nama beliau dan penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak disenaraikan mewakili BN pada PRU15.

Zahidi berkata, pemilihan calon luar selain daripada senarai yang dihantar UMNO Bahagian Padang Besar kepada barisan kepimpinan parti itu boleh diibaratkan sebagai tindakan penyamun.

Dalam mesyuarat, kita (UMNO Bahagian Padang Besar) telah setuju menghantar nama lima calon. Tapi kalau calon yang dipilih bukan daripada senarai yang kita hantar, maka ini telah melanggar perlembagaan (parti).

“Macam mana kita nak menang kalau parti melanggar perlembagaan. Kita memang tak setuju calon luar. Orang ini kita anggap sebagai penyamun,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod, Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar menguasai Parlimen berkenaan sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang DUN Beseri.

Pada PRU yang lalu, Zahidi menang menewaskan calon Pakatan Harapan yang diwakili Pas, Izizam Ibrahim dengan majoriti 1,438 undi.