TNB naik taraf PMU Sedenak

Ketua Pembangunan Grid TNB, Ir. Dev Anandan (kanan) sedang memberikan penerangan
mengenai operasi Pencawang Masuk Utama (PMU) TNB Sedenak kepada Menteri Besar
Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ketua Pembangunan Grid TNB, Ir. Dev Anandan (kanan) sedang memberikan penerangan mengenai operasi Pencawang Masuk Utama (PMU) TNB Sedenak kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pencawang Masuk Utama (PMU) Sedenak memperkasakan kegiatan ekonomi di Lembah Teknologi Sedenak, khususnya di kawasan hab Pusat Data Antarabangsa, Sedenak Tech Park (STeP) yang berkeluasan 7,290 ekar (2,950 hektar).

Ketua Pembangunan Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir Dev Anandan berkata, PMU Sedenak telah menyalurkan bekalan elektrik kepada para pengguna, komersial dan industri termasuk pelanggan terbaru di hab data, Bridge Data Center (BDC) iaitu anak syarikat peneraju pusat maklumat di China, Chindata Group.

Katanya, projek menaik taraf PMU ini diklasifikasikan sebagai kritikal, berimpak tinggi dan 'fast track project' demi memastikan keperluan pelanggan hab data di SteP dipenuhi dan stabil.

‘PMU Sedenak ini berupaya menampung keperluan semasa bekalan elektrik dan TNB merancang untuk memperkukuhkannya dengan projek-projek naik taraf bagi meningkatkan keupayaan PMU Sedenak membekalkan bekalan elektrik pada masa hadapan.

“Ketika ini, ada empat lagi permohonan untuk menyalurkan bekalan elektrik yang stabil dan berterusan ke pusat data di negeri Johor, iaitu dua di Nusajaya dan masing-masing satu di Sedenak dan Kulai,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan PMU Sedenak dengan kos projek RM68 juta siap pada Ogos 2019 bagi menyokong kegiatan pembangunan ekonomi negeri Johor meliputi kawasan Sedenak, Kulai dan Nusajaya.

Selain itu, pihak TNB juga turut membelanjakan kos tambahan sebanyak RM1.2 Juta lagi untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf pepasangan untuk membekalkan bekalan elektrik kepada Bridge Data Centre pada September tahun ini.

Pada 20 Oktober lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama beberapa Exco Kerajaan Negeri Johor telah mengadakan lawatan ke PMU Sedenak.

Artikel Berkaitan:

Menerusi lawatan itu, Onn Hafiz Ghazi menghargai inisiatif TNB dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di kawasan pertumbuhan sekali gus dapat memberi keyakinan tinggi kepada para pelabur untuk menyertai rancangan pembangunan ekonomi negeri.

Onn Hafiz turut diberi penerangan oleh Dev Anandan mengenai kerja-kerja naik taraf pepasangan untuk pembekalan bekalan elektrik yang bermula April lalu dan siap lebih awal daripada jadual asal pada Mac tahun depan.

STeP yang mendapat sokongan penuh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dibangunkan di kawasan seluas 745 ekar, bakal menjadi hab data kedua di Malaysia selepas Cyberjaya.

Ia dijangka menjana RM17 bilion nilai pelaburan dan mewujudkan lebih 8,700 peluang pekerjaan dengan menjadi hab data alternatif utama di Asia Tenggara.