'Masih banyak kerja rumah perlu dilakukan skuad hoki remaja'

Pemain negara, Faris Harizan menghalang pergerakan pemain Great Britain, Ellis Robson pada saingan Piala Sultan Johor
di Stadium Hoki Taman Daya pada 26 Oktober lalu.
Pemain negara, Faris Harizan menghalang pergerakan pemain Great Britain, Ellis Robson pada saingan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada 26 Oktober lalu.
A
A
A

BANYAK ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan skuad hoki remaja negara sekiranya tidak mahu diaibkan di laman sendiri pada Piala Dunia Remaja 2023 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur November tahun depan.

Itu nasihat bekas pemain hoki negara, Maninderjit Singh yang menyifatkan pasukan kendalian Muhamad Amin Rahim memerlukan penambahbaikan segera selepas prestasi hambar di Kejuaraan Piala Sultan Johor 2022 yang berakhir pada Sabtu.

Jelas beliau yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada era 90-an, satu pelan periodisasi perlu dilaksanakan segera Kesatuan Hoki Malaysia (MHC) sekiranya mahu merealisasikan sasaran separuh akhir yang ditetapkan sebelum ini.

“Prestasi keseluruhan ditampilkan skuad muda negara di Piala Sultan Johor boleh saya katakan kurang memberangsangkan. Banyak kekurangan terutamanya dari bahagian penjaga gol, pukulan sudut penalti dan serangan termasuk juga ketika bertahan.

“Sudah tentu ia bukan satu perkembangan yang kita mahukan tambahan pula pasukan ini mempunyai kurang dari beberapa bulan jika tolak saingan hoki domestik dan sebagainya sebelum bertanding di Piala Dunia Remaja.

“Satu pelan periodisasi perlu dibuat MHC dan barisan kejurulatihan bagi mengurangkan jurang besar antara skuad negara dengan pasukan negara lain. Ini termasuklah mereka perlu didedahkan lebih banyak perlawanan antarabangsa berbanding aksi tempatan.

“Jadi dengan tempoh yang tinggal ini mereka perlu gunakan sebaiknya jika mahu lihat pasukan negara berada di separuh akhir seperti yang ditetapkan sebelum,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Skuad remaja negara mengakhiri kempen Piala Sultan Johor 2022 di kedudukan keenam keseluruhan selepas tewas 2-3 kepada Afrika Selatan pada penentuan tempat kelima keenam.

Artikel Berkaitan:

Selain mewujudkan pelan periodisasi, Maninderjit turut menggesa skuad muda negara membesarkan lagi kumpulan pemain sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia Remaja.

Jelas beliau, dengan adanya kumpulan pemain yang besar, ia bukan sahaja akan memberi kelebihan untuk jurulatih memilih pemain yang diperlukan, namun ia juga akan menghadirkan persaingan sihat dalam pasukan itu sendiri.

“Sangat penting untuk kita ada kumpulan pemain yang besar sebelum menghadapi Piala Dunia Remaja.

"Apabila kita ada kumpulan pemain yang besar ia secara tidak langsung memberikan manfaat kepada pasukan kita,” katanya.