Keputusan Mohd Rafiq keluar Bersatu bersifat peribadi

Mohd Yadzil
Mohd Yadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen keluar parti tidak melibatkan jawatankuasa bahagian Parlimen Tangga Batu.

Ketua Pimpinan Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menjelaskan, pihaknya mengambil maklum pendirian peribadi Mohd Rafiq namun akan terus menyokong kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan beliau bersifat peribadi dan tidak melibatkan jawatankuasa dan sayap bahagian Tangga Batu yang masih kekal bersama Bersatu.

"Kami semua ahli Bersatu Melaka akan mempersiapkan jentera Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

"Kami berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan PN menang walau siapa calon yang akan dinamakan pihak pusat dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Mohd Rafiq meletakkan semua jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau mengambil tindakan itu berikutan tidak dipilih sebagai calon PN bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

Dalam pada itu Mohd Yadzil berkata, Bersatu Melaka menghargai jasa dan khidmat yang telah diberikan bekas Naib Presiden itu.

Artikel Berkaitan:

"Jutaan terima kasih kepada beliau atas segala jasa yang telah dicurahkan. Semoga terus maju jaya," katanya.