'Terima kasih semua yang mendoakan saya'

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

JURULATIH bola sepak berpengalaman B Sathianathan menyatakan yang beliau sudah cukup cergas untuk kembali menggalas tanggungjawab membimbing pasukan, selepas berehat selamat empat bulan susulan masalah kesihatan serius sejak Jun lalu.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan berusia 64 tahun itu berkata doktor yang merawatnya, mengesahkan beliau telah kembali pulih sepenuhnya, berdasarkan laporan imbasan kesihatan yang dilakukan baru-baru ini.

"Saya sudah kembali normal dari segi kesihatan dan bersedia untuk melatih. Saya sudah menjalani rawatan terakhir dan selepas ini hanya perlu lakukan pemeriksaan susulan setiap tiga bulan.

"Terima kasih kepada keluarga, kawan-kawan dan peminat yang mendoakan saya serta doktor yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Saya gembira dan terhutang budi dengan ramai orang terutama isteri dan anak-anak, yang sentiasa ada bersama saya," katanya pada Ahad.

Sathianathan dan kelab Liga Super Sarawak United FC, menamatkan kontrak atas persetujuan bersama pada Jun lepas, susulan faktor kesihatan di mana beliau dinasihatkan untuk menjalani rawatan.

Sementara itu, Sathianathan yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada 2010, 2012 dan 2017, mengakui sangat merindukan bola sepak.

Katanya beliau telah mengadakan perbincangan dengan dua kelab tempatan, mengenai potensi untuk bekerjasama dalam merealisasikan impiannya untuk kembali membimbing pasukan.

"Satu pasukan di kawasan Lembah Klang, satu lagi di luar tetapi tiada kata putus, hanya perbincangan. Terdapat juga tawaran menerusi ejen saya tetapi perkara ini perlukan masa untuk buat keputusan, tetapi saya sudah bersedia," katanya dalam nada semangat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata tempoh rehat selama ini telah memberinya banyak ruang untuk mempelajari serta mendalami perkara baharu berkaitan permainan bola sepak moden, selain membuat analisa berkaitan pendekatan taktikal terkini.

"Saya telah melihat perkara baharu di Eropah kini... seperti apa yang Napoli (Kelab Itali) bermain sekarang dan telah menganalisisnya.

"Saya juga mendapati standard kelab-kelab kita semakin baik dan antara yang terbaik di Asia," katanya.

Sebagai rekod, Sathianathan pernah membimbing Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010, sebelum merangkul kejuaraan Liga Premier masing-masing bersama Angkatan Tentera Malaysia pada 2012 dan Felda United pada musim 2018. - Bernama