Tragedi Itaewon: Acara Halloween, persembahan K-pop dibatalkan

Lebih 103 yang lain turut cedera dalam kejadian yang berlaku di lereng bukit di Itaewon, Seoul. - Foto Xinhua
Lebih 103 yang lain turut cedera dalam kejadian yang berlaku di lereng bukit di Itaewon, Seoul. - Foto Xinhua
A
A
A

SEOUL - Kebanyakan perayaan Halloween, acara dan perarakan serta persembahan bintang K-pop dibatalkan, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kerajaan dan penganjur pada Ahad, di saat negara berkabung atas kematian sekurang-kurangnya 153 orang dalam kejadian rempuhan pada Sabtu.

Lebih 103 yang lain turut cedera dalam kejadian yang berlaku di lereng bukit di Itaewon, Seoul susulan puluhan ribu orang mengunjungi kawasan itu sempena perayaan Halloween.

Kerajaan menetapkan tempoh berkabung bermula Ahad hingga Sabtu dan mengarahkan bendera di bangunan kerajaan dan pejabat awam dikibarkan separuh tiang.

Agensi superstar global BTS, Big Hit mengumumkan akan menangguhkan semua aktiviti yang dijadualkan untuk debut solo Jin 'The Astronaut' dengan kumpulan rock British Coldplay.

SM Entertainment yang mengendalikan artis seperti Girls' Generation, EXO, Super Junior, NCT dan aespa turut mengumumkan acara Halloween yang dijadual pada hari itu dibatalkan.

Jenama fesyen mewah Gucci memaklumkan pihaknya akan membatalkan pertunjukan fesyen yang dijadual diadakan di Seoul pada Selasa.

Festival OneAsia Busan yang dijadualkan pada Ahad depan di bandar selatan Busan juga dibatalkan.

Acara itu mengetengahkan beberapa bintang K-pop dan dijangka dihadiri 40,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Taman hiburan bertemakan Lego Legoland yang terletak di Chuncheon, 75 kilometer timur Seoul, memaklumkan pihaknya membatalkan perayaan Halloweennya.

Kebanyakan pasar raya di seluruh negara turut membatalkan acara Halloween dan menanggalkan hiasan serta poster mempromosikan sambutan berkenaan. - Bernama