PRU15: Doktor perubatan taruhan PN di Parlimen Klang

Dr Jaya Chandran
Dr Jaya Chandran
A
A
A

KLANG - Perikatan Nasional (PN) Klang menampilkan seorang doktor perubatan, Dr Jaya Chandran Perumal, 47, sebagai bakal calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi merebut kerusi Parlimen Klang.

Timbalan Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Klang, Khalid Nayan berkata, pihaknya bersetuju untuk melantik 'doktor rakyat' tersebut bagi bertanding dalam PRU kali ini.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi tentang calon tersebut akan dibuat dalam masa terdekat oleh PN di peringkat pusat.

Setakat ini kita hantar dua calon sahaja iaitu daripada Gerakan dan Bersatu, dan selepas kita buat perbandingan, kita setuju dengan calon yang kita bawa (Dr Jaya Chandran).

"Pengumuman daripada PN akan dibuat dalam masa terdekat kerana ia keputusan di peringkat pusat dan mereka akan tentukan tarikh untuk umum calon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Klang di Bilik Gerakan Utama PN P.110 Klang di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Jaya Chandran berkata, beliau akan memperjuangkan isu kesihatan rakyat dan banjir yang berlaku daerah berkenaan sekiranya memenangi kerusi Parlimen Klang dalam PRU15.

Selain itu, beliau juga akan membuka klinik kelima di sini dengan menawarkan pelbagai kemudahan kesihatan untuk golongan yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas ini, saya akan buka klinik di sini dengan menawarkan rawatan percuma untuk B40, warga emas, kanak-kanak bawah umur 18 tahun dan pelajar universiti.

"Kita juga akan berikan konsultasi percuma dan kadar bayaran paling minimum kira-kira RM20," katanya.

Dr Jaya Chandran merupakan Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Klang yang pernah berkhidmat di sebuah hospital kerajaan di sini.

Beliau yang mendapat pendidikan tertinggi di Kursk State Medical University di Rusia juga memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di lima syarikat dalam bidang perubatan sejak 2014