‘Saya tidak sabar mengenakan semula pakaian lumba’

Azizulhasni Awang - Foto FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni Awang - Foto FB Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal bertanding di Liga Juara-Juara Trek Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 12 November hingga 3 Disember depan selepas enam bulan berehat susulan pembedahan jantung,

Azizulhasni menerusi akaun Twitter rasminya berkata beliau diundang oleh UCI untuk menyertai kejohanan Sprint League yang akan bermula di Mallorca, Sepanyol pada 12 November, diikuti di Berlin, Jerman (19 November), Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis (26 November) serta dua perlawanan di London, United Kingdom pada 2 dan 3 Disember.

“Saya tidak sabar untuk mengenakan semula pakaian lumba dan beraksi di hadapan anda semua,” katanya.

Antara 18 pelumba yang akan bertanding pada perlumbaan itu adalah juara Olimpik Harrie Lavreysen dari Belanda, pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 Matthew Richardson dari Australia dan bekas juara dunia Stefan Botticher dari Jerman.

Kejohanan itu adalah perlumbaan sulung The Pocket Rocketman itu selepas menyumbang perak buat Malaysia menerusi acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu.

Pelumba berusia 34 tahun dari Dungun itu akan kembali berlatih selepas menjalani proses pemulihan selama enam bulan susulan pembedahan jantung pada April. - Bernama

Artikel Berkaitan: