PRU15: MCA tanding lapan kerusi di Johor

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - MCA dan MIC Johor masing-masing akan bertanding lapan dan satu kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, jumlah sama yang ditandingi kedua-duanya pada PRU14.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerusi Parlimen Simpang Renggam yang ditinggalkan parti Gerakan akan ditandingi oleh UMNO, menjadikan jumlah kerusi yang bakal ditandingi UMNO Johor pada PRU15 ialah 17 berbanding 16 pada PRU lepas.

Pengarah Pilihan Raya BN Johor itu juga berkata, BN negeri tidak akan melakukan sebarang pertukaran kerusi Parlimen antara parti komponennya.

"Pembahagian kerusi tidak berbangkit di Johor, maknanya MCA, MIC kekal dengan jumlah kerusi (seperti) dalam PRU14 (iaitu) lapan (kerusi) MCA dan satu (kerusi) MIC,” kata Hasni kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Bengkel Penerangan Puteri UMNO Johor di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini pada Sabtu.

Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata demikian ketika mengulas sekiranya akan berlaku pertukaran kerusi BN Johor susulan desas desus mengenai pertukaran kerusi antara parti-parti komponen.

Ketika diminta mengulas mengenai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang akan bertanding di kerusi parlimen, ADUN Benut itu mengesahkan hanya dirinya akan bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon pada 5 November, diikuti pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi pada 19 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: