Tunku Azizah kurnia sumbangan kepada Pandu Puteri Singapura

Tunku Azizah berkenan beramah mesra bersama ahli Persatuan Pandu Puteri Singapura ketika mengadakan lawatan ke persatuan itu di Bishan Street 14. - Foto Bernama.
Tunku Azizah berkenan beramah mesra bersama ahli Persatuan Pandu Puteri Singapura ketika mengadakan lawatan ke persatuan itu di Bishan Street 14. - Foto Bernama.
A
A
A

SINGAPURA - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan S$15,000 kepada Persatuan Pandu Puteri Singapura di sini pada Khamis.

Tunku Azizah mengurniakan replika cek yang tertera jumlah berkenaan kepada Presiden Persatuan Pandu Puteri Singapura Dr Seetha Subbiah dalam lawatan ke ibu pejabat organisasi itu yang terletak di Bishan Street 14, di sini.

Dalam setiap lawatan negara Tunku Azizah akan mengurniakan sumbangan kepada pertubuhan atau badan kebajikan terpilih.

Selepas mengurniakan sumbangan itu, Tunku Azizah bertitah berharap supaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Persatuan Pandu Puteri Singapura dapat bekerjasama menganjurkan lebih banyak program pertukaran antara satu sama lain.

"Saya terlibat dalam Pandu Puteri lebih dari 50 tahun, saya pernah menjadi Presiden dan Timbalan Presiden (Pandu Puteri)... jika Pandu Puteri bekerjasama ia akan membawa lebih banyak kebaikan kepada masyarakat,” titah Tunku Azizah yang merupakan Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

Turut mengiringi keberangkatan Tunku Azizah adalah anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Dalam sesi lawatan berkenaan, keberangkatan Raja Permaisuri Agong disambut oleh Dr Seetha dengan diiringi nyanyian "Selamat Datang” yang dipersembahkan oleh 10 orang Pandu Puteri terdiri daripada Henry Park Primary School dan Pasir Ris Crest Secondary School.

Tunku Azizah berkenan melawat ibu pejabat organisasi berkenaan selama lebih setengah jam di samping beramah mesra dengan ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Singapura sebelum berangkat pulang pada pukul 5 petang.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan berangkat melawat National Library of Singapore dan National Museum of Singapore pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah tiba di Singapura pada Selasa lepas sempena lawatan negara ke republik itu yang berakhir esok.

Lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas. - Bernama.