PN tanding semua kerusi Parlimen, DUN di Pahang

Saifuddin ketika sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota pada Khamis.
Saifuddin ketika sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang akan meletakkan calon untuk bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen dan 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu sudah diputuskan dengan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan berkenaan.

"Saya sahkan pada pilihan raya kali ini, PN Pahang akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN.

"Pembahagian kerusi antara Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Pas dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) sudah selesai dan kini menunggu keputusan daripada Majlis Tertinggi PN Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Saifuddin berkata, senarai calon bertanding akan diumumkan sebelum hari penamaan calon dan semua parti gabungan akan bertanding atas tiket PN.

Mengulas sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin berkata, segala keputusan mengenai kerusi mana dipertandingkan akan diputuskan Majlis Tertinggi PN.

"Setakat ini, parti belum buat keputusan sama ada saya bertanding di sini (Indera Mahkota) atau di kawasan lain.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersatu, Pas dan Gerakan belum boleh diumumkan sekali tiada keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti," katanya.

Pada PRU14, Saifuddin menang kerusi Parlimen Indera Mahkota dengan majoriti 10,950 undi.

Ketika itu, Saifuddin mewakili Pakatan Harapan (PH) mendapat 28,578 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan (17,515 undi).

Pahang ditadbir BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan Pas (lapan).