Noor Azmi hanya mahu Bagan Serai, tolak kerusi lain

Dr Noor Azmi Ghazali
Dr Noor Azmi Ghazali
A
A
A

IPOH - Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menolak sekiranya dicalonkan di kerusi Parlimen lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, fokusnya ketika ini adalah untuk mengekalkan kerusi yang disandang dan bukan untuk bertanding di kerusi-kerusi lain.

"Sekiranya dicalonkan semula, saya hanya mahu kerusi Parlimen Bagan Serai, kerusi lain saya tak mahu.

"Sudah 10 tahun saya di situ dan sejak menang, saya tak pernah berehat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, sentiasa ada dengan rakyat di situ pada ketika suka dan duka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Istiadat Konvokesyen 2022 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah di sini pada Khamis.

Timbalan Menteri Kesihatan itu bagaimanapun akur dengan keputusan pimpinan parti sekiranya tidak dicalonkan semula bertanding pada PRU15 ini.

Bagi beliau, tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah memberi perhatian kepada pengundi-pengundi di kawasannya secara berterusan dan bukan bermusim.

"Saya sebelum ini sudah menyatakan kesediaan bertanding mengekalkan kerusi, tetapi kesediaan itu bagi kerusi Parlimen (Bagan Serai), bukan nak bertanding kerusi-kerusi lain termasuk DUN.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun kita tunggu keputusan nanti (mengenai calon)," katanya.

Pada PRU14, Dr Noor Azmi ketika itu mewakili BN menang di kerusi Parlimen Bagan Serai dalam persaingan tiga penjuru dengan Pas dan Parti Keadikan Rakyat (PKR) dengan majoriti 172 undi.

Beliau kemudiannya umum keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu yang membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Kerusi Parlimen Bagan Serai antara yang menjadi tumpuan berikutan berlaku kemungkinan kerusi itu ditandingi calon daripada Pas.

Sinar Harian pada 9 Oktober lalu melaporkan bahawa wakil rakyat PN yang sedia menyandang kerusi Parlimen dan DUN berkemungkinan besar dicalonkan semula pada PRU15.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, kedudukan itu berdasarkan kepada prinsip calon boleh menang bagi memastikan satu-satu kerusi itu dapat dipertahankan.