Dakwaan Majlis Peguam tidak berasas: Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan kenyataan yang dibuat Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lyn berhubung kesaksamaan dan keupayaan siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) mengenai buku kontroversi bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas secara tidak berpihak sebagai tidak berasas.

Katanya, pihak PPK juga sebelum ini telah menjemput wakil daripada Majlis Peguam bagi memberikan pandangan dalam isu buku tersebut, namun pihak terlibat enggan mengambil bahagian dalam sesi konsultasi tersebut.

“Persepsi negatif yang cuba ditimbulkan oleh Majlis Peguam berhubung kesaksamaan dan keupayaan PPK melaksanakan tanggungjawab secara tidak berpihak disifatkan sebagai tidak berasas kerana PPK pernah memberikan peluang dan menjemput Majlis Peguam Malaysia untuk memberikan pandangan berhubung isu-isu berbangkit dalam buku berkenaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa metodologi, perkara-perkara yang diteliti dan pihak-pihak yang terlibat dalam sesi konsultasi serta pihak yang enggan memberikan kerjasama telah disenaraikan dalam laporan dan ini juga menjadi contoh bagaimana PPK telah melaksanakan tanggungjawab secara terbuka dan tidak berpihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Wan Junaidi lagi, PPK ditubuhkan melalui persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember 2021 sebagai sebuah pasukan mencari dan mengesahkan fakta serta telah melaksanakan analisis mendalam terhadap setiap pemerhatian sebelum merumuskan semua dapatan dalam laporan yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 30 September 2022.

“Semua ahli PPK telah menjalankan tanggungjawab hampir lapan bulan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak dan semua penelitian serta dapatan yang dikemukakan adalah berpandukan kepada 19 sesi konsultasi yang diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan.

“Di samping itu, PPK juga telah meneliti pelbagai maklumat dan dokumen yang dibekalkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Kelmarin, Karen Cheah menyatakan bimbang dengan penyahklasifikasian laporan mengenai dakwaan yang dibuat oleh bekas peguam negara dalam memoir tulisannya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ dan mempersoalkan kesaksamaan pasukan petugas yang menyiasat dakwaan itu.

Artikel Berkaitan:

“Pengakuan terang-terangan itu, jika benar, menimbulkan persoalan tentang niat baik dalam penubuhan pasukan petugas khas dan sama ada laporan itu tidak memihak dan boleh dipercayai,” kata Karen Cheah.

Karen Cheah berkata, pendekatan yang sepatutnya adalah melalui penyiasatan bebas di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).