Sabah lancar minyak masak 'Sayang'

Hajiji mengedarkan minyak masak jenama 'Sayang' keluaran kerajaan negeri kepada peniaga di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.
Hajiji mengedarkan minyak masak jenama 'Sayang' keluaran kerajaan negeri kepada peniaga di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah melalui Kumpulan Sawit Kinabalu melancarkan pengeluaran minyak masak jenama 'Sayang' sebagai inisiatif menangani masalah kekurangan minyak masak di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengeluaran minyak masak itu membabitkan yang bersubsidi dan tidak bersubsidi untuk pasaran tempatan.

"Minyak masak ini ada yang satu kilogram, dua kilogram dan lima kilogram. Jadi harganya bagi minyak masak bersubsidi sama seperti di pasaran RM2.50 untuk satu kilogram.

"Bagi yang tidak bersubsidi dijual dengan harga yang rendah sedikit daripada pasaran iaitu RM13.20 sebotol bagi dua kilogram dan RM31 sebotol bagi lima kilogram," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pra-Pelancaran Minyak Masak 'Sayang' keluaran Kumpulan Sawit Kinabalu, di Anjung Selera, Likas di sini pada Rabu.

Tambah beliau, kapasiti pengeluaran minyak masak yang bersubsidi adalah sebanyak 150 tan sebulan manakala tidak bersubsidi ialah 100 tan sebulan.

"Jadi kita berharap dengan adanya pertambahan pengeluaran minyak masak yang dibuat Kumpulan Sawit Kinabalu ini maka saya harap tidak ada lagi isu kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

"Insya-ALLAH, minyak masak ini boleh didapati di pasaran tidak lama lagi dan kilang milik Sawit Kinabalu yang beroperasi di Kunak akan melantik ejen pemasaran untuk memasarkan minyak masak ini," katanya.

Ditanya adakah kerajaan negeri berhasrat untuk mengedarkannya di negeri lain, Hajiji berkata, setakat ini keutamaan diberikan kepada kawasan Sabah terlebih dahulu terutama di kawasan pedalaman.

"Kalau di Sabah ini keluarkan lebih daripada cukup, tiada salah kita jual ke negeri-negeri lain, itu kita lihat kepada keadaan ini soal perniagaan," katanya.

Artikel Berkaitan: