Pasukan petugas khas ditubuh kenal pasti pengundi: Hajiji

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Minyak Masak 'Sayang' keluaran Kumpulan Sawit Kinabalu di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Minyak Masak 'Sayang' keluaran Kumpulan Sawit Kinabalu di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pasukan petugas khas telah ditubuhkan di peringkat daerah bagi mengenal pasti pengundi di kawasan Parlimen masing-masing berikutan pertambahan jumlah daftar pengundi yang mendadak di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri ketika ini masih meneliti pengundi yang didakwa meragukan itu dan laporan mengenainya akan diterima nanti.

"Ya sudah (penubuhan petugas khas), kita buat di peringkat daerah masing-masing sebab mereka yang tahu siapa pengundi itu. Contohnya kawasan peti undi, kampung atau daerah mengundi itu.

"Mereka saja yang tahu, mereka tinggal di sana berpuluh-puluh tahun jadi mereka tahu. Kita akan terima nanti laporan apabila semua penelitian ini dibuat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Minyak Masak 'Sayang' keluaran Kumpulan Sawit Kinabalu di Anjung Selera, Likas pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berhubung penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat pertambahan jumlah daftar pengundi di Sabah.

Hajiji dalam pada itu turut berkata, pihaknya telah mengarahkan jentera parti untuk meneliti pengundi di kawasan masing-masing bagi mengetahui latar belakang pengundi yang berada dalam kawasan berkenaan.

"Kita masih meneliti pengundi yang meragukan. Jadi kita telahpun mengarahkan jentera parti masing-masing di kawasan untuk meneliti dan melihat pengundi-pengundi ini sama ada ia datang daripada kawasan itu ataupun dari mana," katanya.

Sebelum ini, jumlah daftar pengundi di Sabah dilihat meningkat secara mendadak dan ia turut didedahkan oleh beberapa pemimpin parti di negeri ini.

Artikel Berkaitan: