Pusat pelupusan khusus untuk sisa binaan diwujud di Kuantan

Hamdan (kiri) diiringi Mohd Zain menandatangani plak sebagai simbolik perasmian fasiliti pengurusan sisa lengai milik AFES di Sungai Karang di sini pada Rabu.
Hamdan (kiri) diiringi Mohd Zain menandatangani plak sebagai simbolik perasmian fasiliti pengurusan sisa lengai milik AFES di Sungai Karang di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah fasiliti pengurusan sisa lengai (pelupusan sisa binaan dan perobohan) telah diwujudkan di daerah ini untuk kemudahan kontraktor melupuskan sisa binaan melalui kaedah yang lebih sistematik dan teratur.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, selain bertujuan membendung aktiviti pelupusan haram, inisiatif itu juga bertujuan melindungi dan memelihara alam sekitar di daerah ini.

Menurutnya, fasiliti pengurusan sisa lengai yang pertama di Pahang itu dibina di atas tanah milik Alam Flora seluas 3.6 hektar di Sungai Karang di sini.

"Fasiliti di bawah Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) yang mula beroperasi pada Rabu mampu menerima 120 hingga 170 tan sisa binaan sehari untuk dilupuskan dengan kadar bayaran RM16 per tan.

"Sebagai kemudahan baharu, penerangan dan penjelasan berhubung operasinya akan diberikan kepada kontraktor dan pihak yang terlibat secara langsung dalam sektor pembinaan.

"Saya juga minta pihak AFES supaya menawarkan harga promosi dalam satu tempoh tertentu sebelum kadar bayaran penuh dilakukan kepada kontraktor yang menggunakan kemudahan di tapak ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian fasiliti itu di sini pada Rabu.

Hamdan (tengah) diberikan taklimat oleh Mohd Zain (kanan) berhubung operasi fasiliti pengurusan sisa lengai milik AFES.
Hamdan (tengah) diberikan taklimat oleh Mohd Zain (kanan) berhubung operasi fasiliti pengurusan sisa lengai milik AFES.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Pengarah AFES, Datuk Mohd Zain Hassan.

Hamdan berkata, bagi menjayakan inisiatif itu, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan mewajibkan kontraktor pembinaan memiliki permit fasiliti itu sebagai syarat kelulusan permit perniagaan mereka.

"Melalui kaedah pelupusan sisa binaan dengan kaedah sistematik ini, tapak yang difahamkan mampu bertahan selama tujuh hingga 10 tahun ini boleh digunakan kembali untuk pelbagai tujuan termasuk pusat rekreasi dan sebagainya.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, fasiliti pengurusan sisa lengai itu merupakan satu-satunya fasiliti inisiatif hijau yang khusus menguruskan sisa lengai termasuk sisa konkrit, batu-bata, baur dan bahan berasaskan simen di negeri ini.

Menurutnya, AFES akan sentiasa bekerjasama dengan MBK dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan (SWCorp) sebagai badan pelaksana dan pemantauan agar pembuangan sisa secara haram dapat dihentikan.

"Kami juga akan sentiasa memberi kesedaran tentang pembuangan sisa mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan kerana komuniti memainkan peranan penting dalam membudayakan amalan kelestarian," jelasnya.