Parti kecil bertanding bawa suara rakyat: Pejuang Pahang

Rosminahar
Rosminahar
A
A
A

KUANTAN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Pahang menyifatkan kenyataan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa parti baharu yang tidak mempunyai akar umbi hanya bertanding sebagai pengacau undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini mencerminkan keegoan pemimpin itu.

Ketua Negeri Pejuang Pahang, Ir Rosminahar Mohd Amin berkata, ia juga menunjukkan kegusaran Wan Rosdy terhadap akar umbi parti itu yang didakwa sedang bertelagah sesama sendiri.

Menurutnya, sekiranya pemimpin UMNO itu faham erti demokrasi, beliau tidak sepatutnya membuat persepsi parti lain bertanding kerana dendam dan isu peribadi.

"Gabungan parti baharu dan kecil seperti kami merupakan suara rakyat, bukan hanya ahli politik tetapi turut terdiri daripada gagasan bangsa meliputi cendekiawan, agamawan dan pemimpin badan bukan kerajaan.

"Kami melihat perkara yang berlaku di Pahang selama ini dilaksanakan atas dasar politik kepartian semata-mata dan bukan untuk pembangunan negeri Pahang secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rosminahar yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Tanah Air (GTA) Pahang berkata, Pahang bukan sebuah negeri yang miskin, namun masih ramai rakyatnya masih dibelenggu kemiskinan.

"Tiada istilah kami bertanding hanya untuk memecah undi sebaliknya membawa suara rakyat yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan negeri selama ini.

"Mereka mungkin tidak berani bersuara lantang kerana bimbang dikenakan tindakan terutamanya kakitangan kerajaan negeri sendiri dan sebab itu kami menjadi suara mereka bagi menjayakan Gerakan Rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengundi sekarang sudah bijak untuk menilai 'track record' kerajaan yang memerintah sekarang.

"Sebelum ini, rakyat tidak mempunyai pilihan untuk memilih kerajaan baharu yang berintegriti dan anti rasuah, namun melalui GTA mereka berhak bersuara malah boleh bertanding dalam pilihan raya tanpa menyertai mana-mana parti," katanya.

Wan Rosdy sebelum ini mempersoalkan tujuan parti-parti baharu yang tiada hala tuju, namun berhasrat untuk bertanding di negeri ini pada PRU15.

Tanpa menyebut nama parti dimaksudkan, beliau tidak faham tujuan parti itu bertanding mungkin sekadar untuk memecah undi atau atas sebab peribadi.

Menurutnya, UMNO/BN telah membina imej kerajaan negeri dengan 'track record' cemerlang sejak 2018 dan sudah pasti ia ukuran pengundi untuk kekal bersama parti itu di Pahang.