Calon PM, Anwar persoalkan Abdul Latiff

Anwar berucap ketika Jelajah Mega Harapan Negeri Melaka dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di Sungai Petai Permai pada malam Selasa.
Anwar berucap ketika Jelajah Mega Harapan Negeri Melaka dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di Sungai Petai Permai pada malam Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan kenyataan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai calon Perdana Menteri PH.

Menurut Anwar, kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sendiri masih belum pasti untuk mengulas mengenai perkara itu.

"Oh Latiff, kerusi dia (Mersing) pun belum tentu," katanya sinis ketika ditemui pada Jelajah Mega Harapan Negeri Melaka dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di Sungai Petai Permai di sini, malam Selasa.

Media pada Isnin melaporkan bekas Ahli Parlimen Mersing mengeluarkan kenyataan bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak wajar dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan berkenaan menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Abdul Latiff mendakwa ini kerana kes mahkamah difailkan bekas pembantu Anwar, Yusof Rawther masih belum selesai.

Yusof membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Anwar pada 14 Julai tahun lalu berhubung dakwaan serangan seksual yang dikatakan berlaku terhadapnya pada Oktober 2018 di kediaman pemimpin PKR itu.

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, sebarang dakwaan yang dikaitkan dengan Anwar biarlah ditentukan oleh pihak mahkamah.

Menurutnya, Anwar merupakan calon terbaik berdasarkan pengalaman, kesungguhan serta segala pengalaman beliau dalam mengharungi rencah politik Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Saya merayu rakyat Malaysia sepatutnya beri peluang untuk beliau (Anwar) buktikan boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab," katanya.