'Jangan cakap saya bakal PM'

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap pemimpin parti itu menghentikan spekulasi yang beliau bakal menjadi perdana menteri.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu tidak sihat dan hanya akan membunuh karier politiknya lebih awal.

"Itu tidak baik dan akan menyebabkan spekulasi tidak sihat. Bukan saja orang luar, malah orang dalam akan letak pisau siap-siap pada saya.

"Saya harap kawan-kawan jangan lagi cakap seperti itu kerana ia akan 'membunuh' saya dengan cepat," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN di Kampung Kanchong di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab 'modal' kempen yang digunakan sebahagian pemimpin BN ketika memberi ceramah yang beliau dikatakan bakal perdana menteri.

Mohamad berkata, kenyataan sebegitu hanyalah 'lauk tambah' untuk menyedapkan ceramah kempen PRK.

Ditanya adakah beliau menjangkakan akan menjadi Perdana Menteri pada masa depan, beliau berkata tidak pernah membayangkan sampai ke tahap itu.

"Itu terpulang dan saya tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan. Saya hanya bekerja untuk parti. Kita merancang Dia tentukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohamad berkata, Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihatkan beliau berhati-hati dalam menghadapi PRK ini.

"Najib pesan saya supaya berhati-hati. Menjelang akhir berkempen ini, banyak peluru ditembak, tapi itu peluru kapur saja," katanya.

Najib ketika memberi ceramah di Rumah Kelab Sahabat N87 di Kampung Kanchong di sini, malam tadi mendakwa beliau dimaklumkan terdapat sebanyak sembilan isu akan dilancarkan PH ke atas Mohamad dalam pilihan raya berkenaan.