Masa terbaik rakyat membuat penentuan

Generasi muda diharapkan menyedari tanggungjawab dalam berbuat penentuan terhadap masa hadapan negara terutama dalam memilih para pemimpin yang amanah.
Generasi muda diharapkan menyedari tanggungjawab dalam berbuat penentuan terhadap masa hadapan negara terutama dalam memilih para pemimpin yang amanah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi merupakan masa terbaik bagi rakyat dan pengundi muda berbuat penentuan terhadap masa hadapan negara terutama dalam memilih para pemimpin yang amanah.

Ahli Jawatankuasa Advokasi dan Perhubungan Strategik IKRAM Johor (IKRAM), Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata, setiap warganegara diberi hak untuk mengundi serta menjadi tanggungjawab mereka memilih pemimpin yang diharapkan untuk membawa negara ke arah kemakmuran.

“Apakah bentuk negara yang kita mahu? Semestinya negara yang di bawah naungannya mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat yang dipimpinnya.

“Secara tidak langsung, pemimpin-pemimpin ini mestilah memiliki kebolehan mentadbir urus yang baik, bebas dari dipengaruhi untuk kepentingan diri sendiri atau secara ringkas, dalam bahasa sekarang kita gelar bebas dari rasuah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Rasuah Busters, baru-baru ini.

Mengulas mengenai Undi 18, Abdull Rahim berkata, generasi muda diharapkan menyedari tanggungjawab mengenainya.

“Kita amat mengharapkan pengundi baharu ini sedar bahawa kuasa memilih para pemimpin ada di tangan mereka.

“Pengundi muda jangan sekali-kali merasakan undi mereka tidak membawa kesan. Dan jangan merasakan politik itu kotor. Yang mengotorkan politik ialah pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan berpolitik atas kepentingan diri sendiri.

“PRU15 akan ada sebanyak 7.8 juta pengundi baharu dan 3.8 juta berumur 18 tahun. Semestinya, jumlah ini akan akan memberikan kesan terhadap landskap senarai pemimpin yang dipilih nanti,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Johor, Muhammad Salehuddin Jamal berkata, pada hakikatnya PRU15 perlu menekankan aspek pemilihan calon yang benar-benar layak dan boleh memacu negara ke landasan terbaik.

“Pilihan raya bukan soal siapa menang siapa kalah atau parti mana yang akan menerajui negara atau siapa bakal perdana menteri.

“Harus diingat jari yang mengundi inilah bertanggungjawab dalam memastikan kepimpinan negara ini dipegang kepada mereka yang selayaknya,” ujar beliau.