MetMalaysia nafi jangkaan cuaca buruk penghujung Oktober

Kenyataan MetMalaysia pada Isnin. (Gambar kanan: Muhammad Helmi)
Kenyataan MetMalaysia pada Isnin. (Gambar kanan: Muhammad Helmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan dakwaan video tular berhubung jangkaan cuaca buruk luar biasa yang akan berlaku pada penghujung Oktober 2022.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, melalui pemantauan terkini, keadaan cuaca di negara ini sedang dipengaruhi oleh penumpuan angin di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah dan sehingga penghujung bulan Oktober tahun ini.

Menurut kenyataan tersebut, situasi itu berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.

“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan pada 23 Oktober (Ahad).

“Pada masa yang sama, satu sistem tekanan rendah berbentuk di barat Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat serta barat laut menjauhi rantau negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Baru-baru ini, tular sebuah rakaman video di aplikasi media sosial yang mendakwa bahawa jangkaan cuaca buruk luar biasa akan berlaku pada penghujung Oktober 2022.

Bagaimanapun, tambah kenyataan berkenaan, kewujudan sistem itu didapati memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut.

“Oleh itu, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora Kategori Pertama telah dikeluarkan pada jam 12.30 tengah hari, 24 Oktober 2022 (Isnin) dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50 km/jam dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang dalam tempoh Khamis, 27 Oktober sehingga Ahad, 30 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

“MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan dari masa ke masa," kata kenyataan itu

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web MET Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi serta Hotline di talian 1-300-22-1638.