Damok layak 'gegar' Moto3

Aksi Damok ketika sesi latihan bebas Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat. - Foto Bernama
Aksi Damok ketika sesi latihan bebas Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

DENGAN rekod perlumbaan yang baik di peringkat junior, pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok sememangnya layak beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.

Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Kasma Daniel Kasmayudin berkata, potensi Damok dibuktikan dengan pencapaian yang memberangsangkan dalam Kejuaraan Dunia Junior GP musim ini.

“Apa yang kita tengok semasa Junior GP, Damok selalu berada dalam kedudukan lima teratas dan (menaiki) podium. Jadi Damok memang layak ke kejuaraan dunia, dia tidak terus lompat, dia ikut segala langkah satu persatu,” katanya.

Pada Jumaat, Damok diumumkan sebagai salah seorang pelumba pasukan MT Helmets-MSI bagi saingan Moto3 musim depan dan bakal bergandingan bersama pelumba dari Brazil, Diogo Moreira.

Dalam Kejuaraan Dunia Junior GP musim ini, Damok kini berada di tempat keempat keseluruhan apabila mengumpul 110 mata dengan berbaki dua lagi pusingan di Valencia, Sepanyol pada 30 Oktober ini.

Damok turut berpeluang menimba pengalaman dan merasai bahang saingan Moto3 pada GP Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad apabila beraksi menerusi tiket wildcard bersama Vision Track Racing Team.

Sementara itu, Kasma Daniel yang turut menerima tiket wildcard bersaing dalam kelas Moto2 bersama Petronas MIE Racing RW pada GP Malaysia kali ini berkata, tekanan berlumba dalam kejuaraan dunia amat tinggi.

“Ia (tekanan) tak sama macam perlumbaan biasa kerana nak berada di sana bukan mudah, nak kekal pun bukan mudah. Saya harapkan Damok lebih tabah dan kuat dari segi mental dan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Damok salah seorang pelumba terbaik Malaysia, tahniah kepada dia dan paling penting sekali perlumbaan Moto3 agak 'keras' dan persaingannya pun 'gila-gila', tunggang dengan selamat dan cuba sehabis baik demi Malaysia,” ujarnya. - Bernama