MAFI perkukuh pasar tamu Sabah, Sarawak

Ronald (tiga dari kiri) menyaksikan Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA, Mohd Razif Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan peralatan pertanian kepada wakil petani, Norisah Pisik pada program Semarak Tani Keluarga Malaysia di Telupid. - Foto Bernama
Ronald (tiga dari kiri) menyaksikan Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA, Mohd Razif Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan peralatan pertanian kepada wakil petani, Norisah Pisik pada program Semarak Tani Keluarga Malaysia di Telupid. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memastikan rangkaian peruncitan pasar tamu di Sabah dan Sarawak terus diperkukuh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia selepas FAMA berjaya mencatatkan nilai jualan RM1.564 bilion pada September tahun ini.

Menurutnya, antara usaha yang giat dijalankan adalah seperti projek menaik taraf pasar tamu di dua negeri tersebut dengan matlamat untuk mentransformasikannya tanpa menghilangkan identiti keunikan.

“Sehingga September 2022, 10 lokasi pasar tamu telah dinaik taraf iaitu lapan lokasi pasar tamu telah beroperasi, manakala dua lokasi pasar tamu masih di peringkat pembinaan iaitu di Tuaran, Sabah dan Sebuyau, Sarawak.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), FAMA telah mengenalpasti tapak Pasar Tamu Tuaran di Sabah sebagai lokasi untuk dinaik taraf pada tahun 2022 yang juga telah mendapat persetujuan daripada pihak Majlis Daerah Tuaran.

“FAMA juga akan membangunkan rantaian pemasaran pertanian di daerah Telupid melalui beberapa projek pembangunan termasuk penubuhan sebuah Pasar Tamu Telupid serta membangunkan pusat pengumpulan ladang dan gerai buah-buahan segar,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Tani Keluarga Malaysia (STKM) di Telupid, Sabah, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Labuk, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA, Mohd Razif Abdullah dan Penolong Pegawai Daerah Telupid, Muhammad Nasrul Omar.

Sebelum ini, Ronald turut menyampaikan bantuan Kit MAFI Prihatin kepada 500 penerima dan menyerahkan peralatan usahawan ladang kontrak serta bantuan peralatan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Artikel Berkaitan:

Beliau juga turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara usahawan dan FAMA bagi pemasaran buah pamelo serta MoU antara pengeksport dan FAMA bagi pisang.