Tawar gaji lumayan kerja luar negara

Pengalaman yang tidak boleh dilupakan Ayub adalah insiden rusuhan di Kuala Terengganu. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Pengalaman yang tidak boleh dilupakan Ayub adalah insiden rusuhan di Kuala Terengganu. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

TERPENGARUH dengan tawaran gaji lumayan di luar negara antara faktor segelintir rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Thailand, Kemboja, Myanmar dan Laos.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, mangsa yang terlibat dipercayai terpedaya dengan taktik licik sindiket yang menawarkan pelbagai pekerjaan dengan bayaran lumayan melalui platform iklan di media sosial.

“Selain itu, sindiket berkenaan juga disyaki menanggung kos perjalanan mangsa ke negara tersebut, apabila mangsa sampai di sana, baru mereka menyedari telah terpedaya.

“Mangsa perlu ikut segala arahan sindiket itu seperti terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ampang Jaya, baru-baru ini.

Ayub berkata, jika mangsa tidak buat kerja atau prestasinya tidak memuaskan, sindiket itu akan menganiaya mangsa tersebut.

“Mangsa berkemungkinan akan dikurung dan dipaksa menjadi anggota sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha menyelamatkan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Ayub (tengah) berucap pada majlis Townhall Discussion ke arah Bandar Selamat Ampang Jaya 2022 dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan MCPF.
Ayub (tengah) berucap pada majlis Townhall Discussion ke arah Bandar Selamat Ampang Jaya 2022 dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan MCPF.

“Saya dimaklumkan, proses untuk menyelamatkan mangsa juga sukar sehingga melibatkan proses diplomatik antara kerajaan Malaysia dengan negara terbabit,” ujarnya.

Ayub menasihati masyarakat khususnya golongan muda supaya berwaspada bagi mengelak terjebak dengan sindiket pekerjaan tidak wujud.

Tingkat kesedaran cegah jenayah

Tambah beliau, MCPF sebuah badan yang berperanan sebagai penghubung antara PDRM dengan komuniti dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penglibatan awam terhadap usaha mencegah jenayah.

“MCPF telah menyusun lebih banyak program pencegahan jenayah di seluruh negara, bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.

Tambah bekas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman itu, MCPF juga bekerjasama dengan agensi kerajaan dan kementerian berkaitan kempen keselamatan dan pencegahan jenayah.

Ayub (dua dari kiri) telah berkhidmat dengan PDRM selama 37 tahun.
Ayub (dua dari kiri) telah berkhidmat dengan PDRM selama 37 tahun.

“Ia bagi memastikan maklumat dapat disampaikan ke semua peringkat masyarakat dan kawasan termasuk luar bandar,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan polis dalam usaha memerangi jenayah.

“Orang ramai termasuk golongan muda juga perlu berhati-hati dengan taktik penipuan sindiket yang sentiasa berubah-ubah mengikut trend semasa," katanya.

37 tahun berkhidmat dalam PDRM

Dalam perkembangan berasingan, Ayub turut berkongsi pengalaman sepanjang tempoh 37 tahun beliau mencurah bakti dalam pasukan PDRM.

Ayub, 68, berkata, beliau berasal dari Batang Kali, Hulu Selangor dan merupakan anak kelapan daripada 11 beradik.

“Ayah saya merupakan guru mengaji al-Quran, dia telah meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun.

“Pada ketika itu mak bersusah payah menjual hasil tanaman jagung untuk menyara kami sekeluarga,” katanya.

Ayub berkata, beliau menerima biasiswa kerajaan Persekutuan, namun tidak dapat menghabiskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti, sebaliknya mengambil keputusan bekerja di sebuah bank.

Beliau kemudian menerima panggilan untuk hadir temu duga sebagai juruterbang di Tentera Udara Diraja Malaysia, namun gagal dalam ujian kesihatan.

Bagaimanapun, Ayub memberitahu bahawa beliau bersyukur setelah mendapat tawaran berkhidmat dengan PDRM pada 1 Oktober 1977 dan menjalani latihan asas selama tujuh bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, seterusnya terlibat dalam kursus Pasukan Polis Hutan selama sebulan.

Selepas itu, beliau kemudian menjadi pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Georgetown, Pulau Pinang sebelum ditukarkan semula ke Pulapol Kuala Lumpur sebagai salah seorang tenaga pengajar selama dua tahun.

Selia projek pembangunan PDRM

Ayub berkata, beliau telah diberi tanggungjawab sebagai Pegawai Pembangunan di Kementerian Dalam Negeri untuk menyelia beberapa projek bangunan PDRM di seluruh negara termasuk aspek penyelenggaraan.

“Saya juga perlu bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya serta agensi lain yang terlibat dalam projek tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Logistik Pembangunan PDRM.

“Pada ketika itu, PDRM banyak memberi keutamaan pada aspek pembangunan dan infrastruktur agensi berkenaan,” katanya.

Ayub juga memberitahu berpeluang menimba pengalaman dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor termasuk belajar cara beliau Rahim membuat keputusan dan mengkoordinasi operasi melibatkan jabatan di PDRM.

Ayub (depan, tengah) ketika menjadi Pengarah Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti bergambar bersama pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada 12 Ogos 2014.
Ayub (depan, tengah) ketika menjadi Pengarah Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti bergambar bersama pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada 12 Ogos 2014.

“Saya bersyukur sebagai pegawai junior dapat bekerja rapat dengan pucuk pimpinan PDRM," ujarnya.

Beliau kemudian bertugas sebagai Timbalan Ketua JSJ di Negeri Sembilan selama tujuh bulan sebelum ditukarkan serta-merta ke Istana Negara sebagai Juruiring kepada Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 1999 sehingga baginda mangkat pada 2001.

“Saya kemudian berkhidmat sebagai Juruiring kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,” katanya.

Ayub berkata, pada masa sama, beliau bekerja sambil belajar untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan.

“Saya mengambil program pengajian melalui kelas malam di sebuah institut pengajian tinggi swasta,” katanya.

Beliau kemudian menjadi komandan di Pulapol Kuala Lumpur selama enam bulan dan telah mencipta moto latihan pada ketika itu 'Doing the right thing, right way through training'.

Kursus kepimpinan di London

Beliau berkata, PDRM kemudian telah menghantarnya untuk menyertai kursus kepimpinan di Wolfson College, Universiti Cambridge di London selama lima bulan.

“Saya telah memilih tajuk kajian community policing, saya juga berpeluang menyertai rondaan serta program town hall anggota polis di sana.

“Dalam program town hall, pihak berkuasa bersama agensi lain di negara itu telah meluangkan masa mendengar masalah yang dibangkitkan oleh masyarakat untuk tindakan lanjut," katanya.

Insiden rusuhan

Ayub juga pernah memegang jawatan penting lain seperti Ketua Polis Melaka, Ketua Polis Terengganu dan Ketua Polis Pulau Pinang.

Jelasnya, pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika menjawat sebagai Ketua Polis Terengganu adalah insiden rusuhan di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 2007.

“Kita telah mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat dalam insiden itu dengan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Ayub berkata, beliau perlu menghadiri tujuh majlis penerangan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan insiden tersebut.

“Saya perlu menerangkan kepada masyarakat apa punca rusuhan tersebut, tindakan yang telah diambil serta cadangan kepada ketua komuniti dan belia agar insiden sebegitu tidak berulang,” ujarnya.

Beliau berkata, insiden tersebut telah dicatatkan sebagai bahan rujukan dan kajian kepada anggota dan pegawai polis.

Apa yang berlaku dalam kejadian itu katanya, turut menjadi topik perbincangan dalam kursus pada peringkat tinggi PDRM agar prosedur operasi standard (SOP) menguruskan insiden rusuhan dapat ditambah baik.

Penubuhan jabatan baharu PDRM

Ayub berkata, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM dan pernah terlibat dalam penubuhan satu jabatan baharu di PDRM iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti pada 2013.

Katanya, objektif utama jabatan itu adalah untuk merangka strategi, melaksanakan inisiatif-inisiatif dengan objektif untuk mengurangkan jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) menerima kunjungan hormat daripada MCPF pada 20 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) menerima kunjungan hormat daripada MCPF pada 20 September lalu.

Beliau berkata, fungsi jabatan itu antaranya mendidik serta membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah.

“Dalam sistem keadilan perlu ada pencegahan, penyiasatan, pendakwaan, perbicaraan, hukuman dan pemulihan, segala aspek itu mesti sentiasa diperkasakan oleh semua pihak,” katanya.

Ayub menjelaskan, beliau akan terus berkhidmat untuk masyarakat, selagi umur dan kesihatan mengizinkan.

"Saya bersyukur atas setiap nikmat, rahmat dan rezeki yang dikurnia-NYA, walaupun saya sudah bersara daripada PDRM, perjuangan mencegah serta membanteras masih belum selesai,” katanya.