Mara Kedah bantu 2,152 usahawan

Yahaya (berdiri tengah) bergambar santai bersama 25 usahawan yang mengikuti Kursus Forensik Bangunan anjuran Mara Negeri Kedah di Mergong, semalam.
Yahaya (berdiri tengah) bergambar santai bersama 25 usahawan yang mengikuti Kursus Forensik Bangunan anjuran Mara Negeri Kedah di Mergong, semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 2,152 usahawan diberikan kemudahan oleh Mara Negeri Kedah membabitkan latihan dan bimbingan, pembiayaan perniagaan dan premis perniagaan dengan nilai RM4.4 juta sehingga 31 Mac 2019.

Pengarah Mara Kedah, Yahaya Sani berkata, angka tersebut menyaksikan usaha Mara untuk membantu usahawan-usahawan di negeri ini sehingga suku pertama tahun 2019 telah berjaya mencapai sasaran.

"Bagi negeri Kedah, kira-kira RM22 juta telah diperuntukkan kepada 3,547 usahawan secara keseluruhan pada tahun 2019 dan sehingga Mac lalu kita telah mencapai lebih separuh sasaran usahawan yang mendapat manfaat ini.

"Berdasarkan rekod sekarang, Mara Kedah sudah berada pada landasannya dalam membantu usahawan-usahawan dan ia akan dipergiatkan lagi di seluruh negeri ini," katanya selepas Majlis Penutup Kursus Forensik Bangunan di Dewan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah, Mergong, di sini.

Yahaya berkata, sebanyak 10 program latihan dan bimbingan telah diadakan setakat ini dan pihaknya mensasarkan sebanyak 44 program lagi akan diadakan sepanjang tahun 2019.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Kursus Forensik Bangunan yang pertama kali diadakan, beliau berkata kursus berkenaan dikhaskan kepada kontraktor pembinaan seluruh Kedah bagi memberikan pengetahuan lebih mendalam bidang Kejuruteraan Awam Forensik.

"Seramai 25 kontraktor telah menyertai kursus dua hari ini dalam memberikan kefahaman tentang definisi dan skop kejuruteraan forensik dengan mengenalpasti punca-punca kecacatan dan kegagalan dalam pembinaan.

"Salah satu industri yang difokuskan oleh Mara adalah industri pembinaan. Maka kami mengambil pedekatan untuk menambahkan lagi keperluan, ilmu dan kefahaman kepada usahawan-usahawan yang berkait rapat dengan industri pembinaan," katanya.

Artikel Berkaitan: