MAIS sokong titah Sultan Selangor

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar menghormati perbezaan agama bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, orang ramai hendaklah patuh kepada titah Sultan Selangor berkaitan menghormati perbezaan agama dan bangsa yang tidak boleh dijadikan alasan kepada kezaliman atau permusuhan terhadap penganut lain.

Menurut Abdul Aziz, sikap hormat-menghormati terhadap agama lain dan kehidupan berbilang bangsa hendaklah menjadi keutamaan agar kedamaian sentiasa dikecapi bersama.

"Keharmonian dikekalkan biarpun kita berbeza agama, keturunan, kebudayaan, bahasa dan latar belakang. Kita perlulah sentiasa memelihara keharmonian dan perpaduan agar tidak bermusuh antara satu sama lain.

"Al-Quran juga ada menyebutkan dalam Surah Al-Kafirun: Ayat 6 yang menyatakan 'untukmu agamamu dan untukku agamaku. Perbezaan pegangan agama kepada kita, ia adalah merupakan suatu keistimewaan untuk penganut semua agama," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menyeru kepada semua pihak agar dapat bersama-sama memelihara keharmonian walaupun berbeza pegangan agama.

Sultan Selangor sebelum ini bertitah mengenai keharmonian dalam perbezaan agama sempena ulang tahun ke-30 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 12 Oktober lalu.

Titah baginda, manusia diciptakan dengan pelbagai kelompok, budaya dan cara hidup berbeza yang tidak boleh dijadikan alasan untuk saling memusuhi.

Artikel Berkaitan:

Titahnya lagi, kewujudan masyarakat berbilang kaum merupakan fitrah kejadian manusia dan turut dianggap sebagai rahmat daripada ALLAH sebagai pencipta kepada seluruh makhluk.