Seeb waspada muslihat KL City

Rasheed enggan memandang mudah tentangan KL City pada final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
Rasheed enggan memandang mudah tentangan KL City pada final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BIARPUN dilabel sebagai pasukan pilihan, ketua jurulatih Al Seeb, Rasheed Jabar tetap berhati-hati dengan muslihat skuad Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Enggan memandang mudah saingan sengit lawan, Rasheed mahu barisan pemainnya perlu bersedia 100 peratus untuk menyaingi KL City yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Beliau berkata, apa yang bermain dalam fikiran skuadnya adalah untuk melakar sejarah sebagai pasukan Oman pertama menjulang Piala AFC.

“Ini adalah detik yang membanggakan buat kelab dan negara kami untuk melangkah ke pentas final dan sudah tentu semua pemain bersedia memberikan 100 peratus bagi mengharungi perlawanan ini.

“Jika ditanya mengenai pasukan KL City, saya anggap mereka adalah pasukan yang berkualiti dengan memiliki ramai pemain bagus tidak kira secara individu mahupun berpasukan.

“Apa yang pasti, saya tidak bersetuju jika ditanya kami adalah pasukan pilihan kerana ini adalah pentas final, apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Al Seeb dan KL City memasang impian sama untuk merangkul Piala AFC buat kali pertama dengan kedua-duanya bakal tampil buat julung kalinya di pentas akhir kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Rasheed turut gembira apabila video bantuan pengadil (VAR) diperkenalkan pada perlawanan akhir itu sekali gus boleh mengelak daripada sebarang kontroversi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh saya mahu VAR dilaksanakan sejak peringkat kumpulan lagi kerana jika negara-negara lain boleh melakukannya, kenapa tidak pada kejohanan ini,” katanya.