Tiada transaksi penipuan oleh GIIB, pengarah

No Image Caption
A
A
A

GIIB Holdings Bhd (GIIB) berkata, hasil siasatan forensik merumuskan bahawa tiada sebarang transaksi penipuan atau sebarang salah laku oleh kumpulan tersebut sebagaimana didakwa oleh bekas Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutifnya, Wong Weng Yew.

Menurut kenyataan syarikat itu, siasatan forensik berkenaan telah dijalankan oleh Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd dan laporannya telah diserahkan kepada Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko GIIB pada 19 Oktober 2022.

Transaksi meragukan yang didakwa oleh Weng Yew itu melibatkan penjualan jentera dan aset, penyelesaian pertikaian, kos membabitkan sebuah anak syarikat serta jumlah hutang pengarah.

GIIB berkata, dakwaan itu telah dibuat pada 19 April 2022, selepas penggantungan kerja Weng Yew dan siasatan membabitkan pengendalian akaun dan perniagaan sarung tangan pada 28 Mac 2022.

"Jawatankuasa siasatan kemudiannya mendapati wujud alasan pemecatan yang membawa kepada tindakan menamatkan khidmatnya pada 19 Mei 2022 yang mana beliau dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Eksekutif," katanya.

Weng Yew telah memfailkan saman pemula terhadap GIIB dan menamakan pengarah-pengarahnya berdasarkan transaksi meragukan itu pada 19 Mei2022.

Bagaimanapun, pada 18 Ogos 2022, saman tersebut telah ditarik balik dan tidak diteruskan.

"Berikutan tiada salah laku, kumpulan ini berhasrat untuk melupakan perkara ini dan menumpukan usaha untuk memulihkan operasi perniagaan serta mencatat semula keuntungan selain memberi pulangan kepada pemegang saham,” kata GIIB. - Bernama

Artikel Berkaitan: