Tukang gunting rambut dituduh bunuh teman wanita

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi pertuduhan membunuh seorang wanita, awal Oktober lepas.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi pertuduhan membunuh seorang wanita, awal Oktober lepas.
A
A
A

IPOH - Seorang tukang gunting rambut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh teman wanitanya, minggu lalu.

Tertuduh M Krishnaa Kumar, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian M Shankavi, 23, dalam kawasan semak berhampiran tepi Jalan Besar Tambun, Ipoh dalam daerah Kinta antara jam 3.11 pagi, 8 Oktober hingga 5.25 pagi pada 12 Oktober 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri sebelum ini memaklumkan penahanan lelaki itu yang juga teman lelaki mangsa, sehari selepas penemuan mayat berserta dengan beberapa barangan kes di sebuah rumah di Taman Bersatu, Simpang Pulai.

Pada 12 Oktober lepas, media melaporkan, mayat wanita itu ditemukan dalam kawasan semak selepas polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta yang terbabas di tepi longkang.

Artikel Berkaitan:

Semasa anggota polis tiba untuk menjalankan siasatan mengenai kemalangan itu, mereka telah menemukan satu mayat reput dalam kawasan semak dengan jarak lebih kurang dua meter dari lokasi kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki terbabas.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kesan dicekik pada bahagian leher.