RISDA Negeri Sembilan jayakan PJMKM

RM4.5 juta peruntukan bagi keseluruhan Negeri Sembilan

A
A
A

 Mohd Salim (enam dari kiri) bersama sebahagian individu yang hadir pada program berkenaan.
Mohd Salim (enam dari kiri) bersama sebahagian individu yang hadir pada program berkenaan.

JEMPOL - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Sembilan dipilih sebagai agensi pelaksana Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta merangkumi keseluruhan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, tekanan ekonomi dan inflasi yang berlaku secara global ini adalah disebabkan oleh pandemik Covid-19.

"Dalam proses pemulihan ekonomi, kenaikan harga barangan yang berlaku telah menyebabkan keresahan kita semua terutamanya rakyat dalam kumpulan B40.

"Justeru, kerajaan menyediakan inisiatif melalui program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan melaksanakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia yang bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia," katanya pada program berkenaan pada Khamis.

Beliau berkata, PJMKM peringkat negeri mula dilaksanakan pada 20 Ogos sehingga 31 Disember tahun ini dan 31 DUN telah berjaya melaksanakan program berkenaan.

"Program sebegini sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat setempat pada setiap minggu kerana ia menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa dengan sasaran kepada golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari ini sahaja, sebanyak 13 jenis barangan keperluan harian utama yang mendapat potongan harga termasuklah ayam, ikan, daging, telur ayam gred B dan C, beras, gula, tepung gandum, minyak masak satu kilogram dan lima kilogram, susu, kentang, bawang, sayur-sayuran dan buah-buahan," jelasnya.

Mohd Salim (dua dari kanan) turut menyerahkan sumbangan kotak makanan MAFI kepada penerima.
Mohd Salim (dua dari kanan) turut menyerahkan sumbangan kotak makanan MAFI kepada penerima.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 200 orang golongan asnaf pekebun kecil di kawasan Palong turut menerima sumbangan kotak makanan yang disediakan Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) dan RISDA yang bernilai RM 100 bagi setiap penerima.

Ujarnya, penyampaian sumbangan itu juga adalah bukti bahawa hubungan RISDA dan pekebun kecil memang tidak dapat dipisahkan dalam menjayakan agenda pembangunan negara melalui industri getah.

"Sebagai sebuah agensi kerajaan yang menjadi peneraju kepada kemakmuran komuniti pekebun kecil, RISDA sentiasa berusaha dari semasa ke semasa memastikan kehidupan komuniti pekebun kecil berada pada tahap yang lebih baik," kata Mohd Salim.

PJMKM Palong telah mula beroperasi pada 6 Oktober lalu dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Oktober lepas di Dataran Bandar Seri Jempol bersempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan.