Tiga ADUN Amanah dijangka digugurkan

Gambar dari kiri MOHAMMAD NIZAR, YAHAYA dan AMINUDDIN
Gambar dari kiri MOHAMMAD NIZAR, YAHAYA dan AMINUDDIN
A
A
A

IPOH - Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Amanah Negara (Amanah) Perak dijangka tidak akan dicalonkan semula bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka termasuklah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dikatakan akan diletakkan sebagai calon salah satu kerusi Parlimen di Perak.

Dua lagi individu ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Aminuddin Zulkipli dan penyandang kerusi DUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.

Pengguguran ketiga-tiga pemimpin itu difahamkan bagi memberi ruang muka baharu untuk bertanding di kawasan berkenaan selain isu penerimaan di peringkat kawasan masing-masing.

Berdasarkan rekod Mohammad Nizar mula menjadi wakil rakyat pada tahun 2008 selepas memenangi kerusi DUN Pasir Panjang ketika PRU12 seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Perak selain turut memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2009.

Kejayaan itu diulangi pada PRU13 apabila beliau memenangi kerusi DUN Changkat Jering sebelum berpindah ke kawasan DUN Sungai Rapat pada PRU14.

Bagaimanapun pada PRU15 nanti, berkemungkinan Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak akan diletakkan kembali bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Perubahan kerusi itu difahamkan berlaku antara lain disebabkan penolakan pimpinan Amanah Kawasan Gopeng pada pemilihan parti selain mereka tidak mencalonkan Mohammad Nizar untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketika pemilihan parti pada tahun 2019, Mohammad Nizar gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Amanah Kawasan Gopeng sekali gus tidak dilantik sebarang jawatan di peringkat kawasan.

Bagi Aminuddin pula, kekalahan dalam pemilihan parti di peringkat kawasan Tanjung Malim pada tahun 2019 melenyapkan peluang untuk kembali dicalonkan.

Tempatnya di kawasan DUN Behrang dijangka akan diisi Ketua Amanah Kawasan Tanjung Malim, Khairol Najib Hashim yang juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Perak.

Begitu juga Yahaya yang dilihat kurang menyerlah di kawasan selepas menang pada PRU14 selain Amanah mahu menampilkan muka baharu bertanding di kerusi DUN Pasir Panjang.

Bagaimanapun, Pengerusi Amanah Perak yang juga penyandang kerusi DUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi dan penyandang kerusi DUN Kamunting, Dr Muhd Fadhil Nuruddin akan kekal bertanding di kerusi masing-masing.

Antara muka baharu yang bakal dicalonkan termasuklah dua Naib Pengerusi Amanah Perak iaitu Dr Fakhruldin Mohd Hashim dan Dr Muhaimin Sulam.

Dalam pada itu, Asmuni yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan terdapat ADUN parti itu yang akan digugurkan daripada senarai calon PRU15 namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.