Tiada siapa mampu langgar keputusan PAU, MKT

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM – UMNO tetap dengan keputusannya menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ketetapan berkenaan bukan dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi telah diputuskan pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) yang lalu.

“Kuasa tertinggi dalam parti ialah PAU yang telah meluluskannya. Begitu juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Jadi adakah kemungkinan beberapa pihak yang nak langgar keputusan PAU dan MKT. Saya rasa tak mampu, tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri 370 bertajuk ‘Demi rakyat atau kuasa’ yang disiarkan Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, isu poster boy BN sewaktu PRK Johor yang mahu mengekalkan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar tidak boleh dijadikan sandaran dalam PRU15.

“Isu Datuk Hasni tidak jadi Menteri Besar Johor tidak seharusnya dijadikan polemik bahawa perkara sama akan berlaku terhadap Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya adakah UMNO dan Pas akan bersama semula selepas PRU15, Tajuddin berkata, sekarang adalah waktu terbaik untuk Pas bersama UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa ini saya nak ingatkan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kalau hendak bersatu, sekarang.

“Jangan dah berlawan, esok orang lain yang dapat kerusi itu baru kita nak berpakat,” ujarnya.