Parti Kongres India umum presiden baharu

Mallikarjun pemimpin pertama dalam tempoh 24 tahun yang tiada kaitan dengan dinasti Nehru.
Mallikarjun pemimpin pertama dalam tempoh 24 tahun yang tiada kaitan dengan dinasti Nehru.
A
A
A

NEW DELHI - Pembangkang utama India, Parti Kongres pada Rabu mengumumkan presiden baharunya, pemimpin pertama dalam tempoh 24 tahun yang tiada kaitan dengan dinasti Nehru.

Mallikarjun Kharge, 80, pemimpin dari Karnataka menewaskan pesaingnya Shashi Tharoor, 66, seorang ahli parlimen dari Kerala.

Sejumlah 9,385 perwakilan mengundi dalam pemilihan parti itu pada 17 Oktober dengan 7,897 pengundi memilih Kharge.

"Ia suatu yang sangat istimewa untuk menerima sokongan lebih seribu rakan serta membawa harapan dan aspirasi begitu ramai penyokong Kongres di seluruh India," kata Tharoor pada Rabu sambil mengucapkan tahniah kepada pemimpin baharu itu.

Parti Kongres Kebangsaan India yang sudah berusia 137 tahun yang didominasi keluarga Nehru, memerintah negara itu selama kira-kira 60 tahun sejak kemerdekaan pada 1947.

Parti itu mempunyai presiden yang bukan sebahagian daripada dinasti itu sebelum ini dengan ketua organisasi terakhir, Sitaram Kesri digulingkan pada 1988.

Sonia Gandhi, balu bekas perdana menteri Rajiv Gandhi yang terbunuh mengetuai parti itu sehingga 2017 apabila anaknya Rahul Gandhi menjadi presiden.

Rahul meletak jawatan ketua parti berikutan Kongres mengalami kekalahan memalukan dalam pilihan raya umum 2019.

Artikel Berkaitan:

Sejak itu Sonia berkhidmat sebagai presiden sementara.

Daripada 15 perdana menteri India yang merdeka tiga adalah daripada keluarga Nehru bermula dengan perdana menteri pertama Jawaharlal Nehru.

Anak perempuan Nehru, Indira Gandhi, kemudiannya berkhidmat sebagai perdana menteri, diikuti anaknya Rajiv Gandhi memegang jawatan itu berikutan pembunuhan Indira pada 1984.

Tiada keturunan Nehru yang memegang jawatan perdana menteri selepas penggal pemerintah Rajiv 1984-89.

Kharge menyertai Kongres lebih lima dekad lepas dan dilihat rapat dengan Rahul dan Sonia.

Presiden baharu Kongres itu berhadapan cabaran untuk memperkasa parti itu menentang kebangkitan Parti Bharatiya Janata yang disokong nasionalisme Hindu.

Beliau berkhidmat sebagai menteri Kabinet dalam kerajaan bekas Perdana Menteri Manmohan Singh.

Kharge baru-baru ini meletak jawatan sebagai ketua pembangkang di dewan tinggi parlimen untuk bertanding dalam pemilihan parti.

"Presiden Kongres mewakili visi demokrasi India. Pengalaman luas dan komitmen ideologinya baik untuk memikul tanggungjawab pentingnya dalam parti," kata Rahul. - Bernama