MBSA siap sedia hadapi banjir

Simulasi dibahagikan kepada menyelamatkan mangsa banjir dan mangsa lemas di dalam air di bawah pemerhatian JBPM Shah Alam.
Simulasi dibahagikan kepada menyelamatkan mangsa banjir dan mangsa lemas di dalam air di bawah pemerhatian JBPM Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan Latih Amal dan Simulasi Menghadapi Banjir bagi memantapkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana banjir.

Menurut Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan, program tersebut melibatkan penyertaan daripada warga kerja MBSA, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

“Latih Amal dan Simulasi Menghadapi Banjir ini merupakan persediaan awal pihak MBSA bagi menghadapi bencana banjir agar bantuan dapat diberikan dengan efisien dan efektif di dalam kawasan pentadbiran MBSA.

“Antara pengisian aktiviti adalah Taklimat Pengoperasian Bencana Peringkat Daerah oleh wakil Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling, PDT Klang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Shah Alam.

"Turut terlibat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor dan penduduk Shah Alam melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua Komuniti,” katanya.

Mohd Rashidi berkata demikian dalam kenyataan sempena Program Latih Amal dan Simulasi Menghadapi Banjir di Wisma MBSA dan latihan itu turut diadakan di Taman Tasik Shah Alam di sini bagi Simulasi Bencana Banjir Penyelamatan.

Beliau turut memaklumkan simulasi itu dibahagikan kepada dua situasi iaitu menyelamatkan mangsa banjir dan menyelamatkan mangsa lemas di dalam air di bawah pemerhatian JBPM Shah Alam.

“JKM Selangor turut menjadi pemerhati bagi pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pengurusan PPS seperti memberi rawatan awal, penyediaan keperluan asas dan pendaftaran mangsa serta penutupan PPS,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rashidi berkata, sesi pascanilai turut diadakan setelah tamat Latih Amal dan Simulasi Menghadapi Banjir yang melibatkan laporan daripada JBPM Shah Alam serta JKM Selangor.

Menurutnya, melalui Latih Amal dan Simulasi Menghadapi Banjir tersebut pihak MBSA menyasarkan agar pengendalian operasi dan gerakan menyelamat serta pengawasan bencana banjir di kawasan pentadbiran MBSA dapat dilaksanakan dengan teratur, berkesan dan mengikut perancangan Pelan Pengurusan Bencana MBSA.