Polis panggil Pengerusi PSM, Jeyakumar bantu siasatan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sudah memanggil Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj berhubung kenyataan berbaur perkauman dalam satu forum pada 17 September lalu.

Selain itu difahamkan, polis menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut dijangka akan memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Jeyakumar yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Siput berkata, beliau sudah menerima notis permakluman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Ya, saya mengesahkan sudah menerima notis permakluman dan dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak pada jam 10 pagi, Khamis ini.

"Namun saya ada satu urusan penting pada tarikh berkenaan dan berbincang untuk menetapkan satu tarikh lain bagi membantu siasatan berkenaan iaitu pada Sabtu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Forum bertajuk 'Dark Forces Towards GE-15' yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini pada 17 September lalu, dipercayai menyentuh unsur-unsur perkauman.

Antara ahli panel dalam forum berkenaan adalah Tommy Thomas, Jeyakumar, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, Tommy dan ahli-ahli panel yang lain berhak memberi pandangan mereka masing-masing dalam forum berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Beginikah demokrasi yang matang sepatutnya berfungsi dan tindakan polis memanggil mereka yang bercakap dalam forum tersebut adalah bercanggah dengan semangat kebebasan bersuara," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian dimaklumkan Urusetia Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung siasatan kes terbabit.