Raja Muda Perlis berkenan tinjau situasi banjir

Raja Muda Perlis (tiga dari kanan) berkenan meninjau bahagian belakang rumah mangsa yang runtuh akibat banjir. - Foto MAIPs
Raja Muda Perlis (tiga dari kanan) berkenan meninjau bahagian belakang rumah mangsa yang runtuh akibat banjir. - Foto MAIPs
A
A
A

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau beberapa lokasi terjejas banjir di negeri ini pada Isnin.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, di samping meninjau lebih dekat kawasan dinaiki air, baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan bertanya khabar kepada mangsa terlibat.

Turut mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.

Menurut kenyataan itu, seorang daripada mangsa banjir, Noor Lela Aziz, 53, yang menetap di Guar Sanji, Arau melahirkan syukur apabila masalah dihadapi beliau sekeluarga mendapat perhatian MAIPs.

Noor Lela juga terkejut apabila Tuanku Syed Faizzuddin berkenan meninjau bahagian belakang kediamannya yang runtuh akibat bencana itu.

Sementara itu, Mohd Nazim berkata, MAIPs sentiasa memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa dan akan memberi bantuan di bawah Skim Agihan Bantuan Bencana kepada mereka yang layak bagi meringankan beban.

Menurut kenyataan itu, sebelum berangkat meninjau beberapa lokasi banjir, Tuanku Syed Faizuddin berkenan mengetuai Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli ke-71 2022 dan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah di tiga rumah keluarga asnaf terpilih di Jalan Sungai Berembang.

Sehari sebelumnya, baginda turut meluangkan masa meninjau kawasan Titi Chai dan Kampung Sentua di Utan Aji, di sini yang dilanda banjir kilat. - Bernama

Artikel Berkaitan: