Aidil Sharin, Sang Kenari bawa haluan berbeza

Aidil Sharin berjaya membawa pelbagai kejayaan sejak mengendalikan KDA FC empat tahun lalu. - Foto KDA FC
Aidil Sharin berjaya membawa pelbagai kejayaan sejak mengendalikan KDA FC empat tahun lalu. - Foto KDA FC
A
A
A

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak diumumkan tidak lagi bersama pasukan tersebut dan tugasnya akan dipangku Victor Andrag bagi menghadapi Piala Malaysia 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, jasa Aidil Sharin besar kepada Sang Kenari selama empat tahun berada di bumi jelapang padi.

Walau bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah KDA FC memberi keutamaan perancangan kelab untuk musim 2023 dan mengumumkan untuk membawa haluan berbeza dengan pengendali itu.

"KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya kejurulatihan beliau di masa hadapan dan percaya pengalaman kejurulatihannya cukup berharga bagi mana-mana kelab di peringkat liga domestik dan ASEAN," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ketua Jurulatih kelahiran Singapura itu membantu Kedah muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021 serta layak ke peringkat Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

Beliau membantu Kedah membawa Kedah selama tiga tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.

Tambah Khamal Idris, Victor selaku Penolong Ketua Jurulatih KDA FC akan memangku sementara jawatan ketua jurulatih untuk baki saingan Liga Malaysia.

KDA FC akan mengharungi kejohanan Piala Malaysia bermula 25 atau 26 Oktober ini menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman dan bertandang ke halaman lawan pada 31 Oktober atau 1 November.

Artikel Berkaitan: