'Flash mob' desak kerusi Parlimen Seremban diserah kepada UMNO

Pemuda UMNO Seremban mengadakan 'flash mob' mendesak kerusi Seremban diberi kepada UMNO pada PRU15 pada Ahad.
Pemuda UMNO Seremban mengadakan 'flash mob' mendesak kerusi Seremban diberi kepada UMNO pada PRU15 pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda UMNO Seremban mengadakan 'flash mob' di depan Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pada Ahad bagi mendesak pucuk pimpinan parti memberi kerusi Parlimen itu kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin berkata, tindakan itu dilakukan sebagai jalan akhir mereka untuk memastikan suara akar umbi UMNO Parlimen itu didengar.

"Usul ini kami dah perjuangkan selepas PRU14 lagi iaitu selepas mendapati MCA tewas buat kali ketiga tapi dengarnya kerusi ini tetap diberi kepada calon MCA.

"Dengan jumlah pengundi Melayu seramai 82,000 yang mengatasi kaum-kaum lain, apalah salahnya kali ini beri peluang pula kepada calon UMNO untuk bertanding," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan 'flash mob' sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Seremban pada Ahad.

Oleh sebab itu katanya, selagi belum hari penamaan calon, mereka akan terus membuat desakan melalui flash mob yang akan diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen terbabit.

Sementara itu beliau tidak menafikan kemungkinan tiada sesiapa yang berani tawarkan diri untuk bertanding di kerusi terbabit kerana Seremban bukanlah kerusi tumpuan.

Zool Amali (tengah) pada sidang akhbar selepas mengadakan 'flash mob' sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Seremban pada Ahad.
Zool Amali (tengah) pada sidang akhbar selepas mengadakan 'flash mob' sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Seremban pada Ahad.

"Tapi kalau kita tak cuba, kita tidak akan tahu kemampuan kita. Lagi pun selama ini MCA Seremban hanya banyak bergantung kepada UMNO untuk melakukan gerak kerja parti.

Artikel Berkaitan:

"Lagi pun dalam barisan kepimpinan UMNO Seremban, ada banyak calon yang bagus," katanya.

Beliau juga memberitahu bersedia tawarkan diri sebagai calon Parlimen itu jika tiada sesiapa yang berani untuk berdepan dengan penyandang kerusi itu, Loke Siew Fook (DAP).

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

Berkenaan cadangan netizen yang menamakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon paling sesuai diletakkan di kerusi itu, Zool Amali berkata, beliau tidak kisah sesiapa asalkan ia daripada UMNO.