'Lebih banyak penjuru, lagi baik' - Ahmad

Ahmad ketika ditemui pemberita ketika program Jelajah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Warisan Bahagian Papar di Kampung Mook, Kinarut, Papar.
Ahmad ketika ditemui pemberita ketika program Jelajah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Warisan Bahagian Papar di Kampung Mook, Kinarut, Papar.
A
A
A

PAPAR - Penyandang kerusi Parlimen Papar, Ahmad Hassan yang dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersedia untuk menghadapi calon daripada pelbagai parti lawan bagi mengekalkan kerusi miliknya itu.

Beliau yang juga calon Parti Warisan (Warisan) berkata, lebih banyak parti lawan untuk merebut kerusi itu akan memberi peluang yang besar terhadapnya untuk memenangi Parlimen Papar.

"Lebih banyak penjuru, lagi baik. Kita mempunyai penyokong tegar yang tersendiri.

"Kenapa tidak (kelebihan pecah undi). Kalau lagi banyak orang (calon), saya rasa tidak ada masalah. Kerana rakyat sekarang sudah boleh fikir siapa pemimpin sebenar dan siapa ahli politik yang sebenar," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas diumumkan sebagai calon oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada program Jelajah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Warisan Bahagian Papar di Kampung Mook, Kinarut di sini.

Bercakap mengenai pencalonan semula bagi kerusi berkenaan, beliau menyatakan perasaan teruja kerana banyak lagi perkara yang mahu dilakukan di Parlimen Papar.

"Banyak perkara yang harus dilaksanakan ketika kita menjadi kerajaan, tetapi tidak kesampaian. Jadi kesinambungan pencalonan saya ini tidak lain tidak bukan adalah untuk meneruskan apa yang telah saya idam-idamkan sewaktu saya mula-mula menyertai politik," katanya.

Ditanya mengenai sokongan terhadapnya adakah masih kekal, beliau mengakui walaupun ada beberapa pemimpin Warisan yang beralih arah, tetapi ia bukan penghalang untuk mengajak pengundi terutama golongan muda untuk menyokong parti itu.

Artikel Berkaitan:

"Memang boleh dikatakan apabila kita sudah lalui pelbagai perkara disebabkan beberapa pemimpin yang melompat, itu sudah tentu ada kekurangannya.

"Tetapi kita tetap laksanakan dengan pergi ke peringkat akar umbi, ceritakan kepada mereka apa yang harus kita lakukan, beritahu apa yang kerajaan hadapi dan banyak lagi perkara. Pujuk orang muda dengan parti tempatan," katanya.