5,000 anggota polis Kelantan dijangka bertugas pada PRU15

Mazlan (dua dari kanan) diiringi Muhamad Zaki (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bekas pesara polis, Rosly Jaaffar, 62.
Mazlan (dua dari kanan) diiringi Muhamad Zaki (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bekas pesara polis, Rosly Jaaffar, 62.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 5,000 pegawai dan anggota polis di Kelantan dijangka digerakkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, persiapan rapi sudah dilakukan tetapi masih menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Memang daripada awal lagi kesiapsiagaan dilakukan cuma kita menunggu pengumuman SPR jika ada sebarang perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Prihatin Bantuan Peralatan Kesihatan Warga dan Pesara PDRM anjuran Pembinaan BLT (PBLT) Sdn Bhd bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Sabtu.

Muhamad Zaki berkata, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga diperlukan bagi membantu kelancaran pilihan raya.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan melakukan rombakan semula jika PRU15 berlaku ketika banjir

Sementara itu, Pengerusi PBLT, Tan Sri Mazlan Lazim berkata, seramai 52 pesara dan kakitangan polis menerima bantuan peralatan seperti kerusi roda, katil dan tongkat membabitkan peruntukan sebanyak RM45,000.

Beliau berharap, sumbangan peralatan itu dapat membantu meringankan beban penerima.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan program ketiga di Kelantan selain beberapa negeri lain termasuk Pahang, Melaka dan Kedah," katanya.

Menurut Mazlan, Lembah Klang antara negeri yang kerap terlibat dengan program anjuran PBLT kerana taraf hidup tinggi tetapi menerima pencen rendah.

Jelasnya, orang awam turut mendapat manfaat daripada sumbangan PBLT dan bukan dalam kalangan polis sahaja.