Pelumba drag maut kemalangan ketika perlumbaan

Keadaan kereta mangsa yang remuk dalam kemalangan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu.
Keadaan kereta mangsa yang remuk dalam kemalangan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang pelumba drag maut ketika menyertai perlumbaan drag Battle of The Kings di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di sini pada Sabtu.

Mangsa dikenali sebagai Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 39, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, kereta lumba yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas merempuh pokok di tepi litar.

Muhamad Hafez yang parah di bahagian kepala dan anggota badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Susulan kejadian tersebut, pihak penganjur telah menangguhkan perlumbaan berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Polis masih menjalankan siasatan tentang kemalangan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!