[VIDEO] Ketua Srikandi Temerloh, 14 AJK letak jawatan

Siti Aisyah (tiga dari kiri) bersama sebahagian ahli jawatankuasa Srikandi Temerloh yang meletak jawatan pada 30 September lalu.
Siti Aisyah (tiga dari kiri) bersama sebahagian ahli jawatankuasa Srikandi Temerloh yang meletak jawatan pada 30 September lalu.
A
A
A

TEMERLOH - Seramai 14 ahli jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh termasuk Ketua Srikandi bahagian tersebut, Siti Aisyah Ismail dan Naib Ketua Srikandi, Suriati Dahari turut meletak jawatan beramai-ramai secara serentak pada 30 September lalu.

Turut meletak jawatan, empat Ketua Srikandi cawangan dan empat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu.

Siti Aisyah memberitahu, pada mulanya beliau orang pertama meletak jawatan sebelum disusuli AJK lain.

"Tindakan ini kerana ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan bahagian yang tidak boleh berbincang dan bekerjasama dengan baik walaupun sudah beberapa siri perbincangan diadakan.

"Saya juga tidak berpuas hati kerana banyak aspek kebajikan ahli terabai seperti banjir sebelum ini sedangkan sepatutnya banyak bentuk saluran boleh diperoleh ahli kita dan daripada duduk, tidur lebih baik letak jawatan kerana hak saya dinafikan," dakwanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang akhbar dekat Mentakab di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Siti Aisyah menegaskan keputusan meletakkan jawatan tidak berkait mana-mana parti.

"Setakat ini, saya dan yang lain-lain masih kekal sebagai ahli Bersatu dan tidak melompat parti seperti yang diperkatakan pihak lain.

Artikel Berkaitan:

"Surat peletakan jawatan kami telah diterima bahagian yang ditandatangani Setiausaha Bahagian, Syed Omar Syed Abdul Aziz pada 11 Oktober lalu dan kami akan turun padang membantu jentera parti untuk kempen Pilihan Raya Umum (PRU15) jika khidmat diperlukan," jelas beliau.

Siti Aisyah yang berusia 41 tahun antara tonggak utama Bersatu dengan memulakan gerak kerja di bahagian itu sebagai penggerak awal parti sejak 2016 dan memenangi pertandingan pemilihan Srikandi Temerloh pada 2020 hingga kini.

Sementara itu, Timbalan Bersatu Bahagian, Mohd Yusoff Abdullah memangku jawatan Ketua Bahagian Temerloh selepas Tan Sri Tengku Azlan Shah Sultan Ahmad Shah bertindak keluar dari parti tersebut.