Ecoride diberi hak sediakan pengecas EV di pasar raya Mydin terpilih

Ecoride dan Mydin menandatangani perjanjian lesen bagi mengendalikan stesen pengecas EV
Ecoride dan Mydin menandatangani perjanjian lesen bagi mengendalikan stesen pengecas EV
A
A
A

SHAH ALAM - Ecoride Sdn Bhd (Ecoride) menandatangani perjanjian lesen dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2022 pada Sabtu bagi mengendalikan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di cawangan Mydin terpilih.

Pengarah urusan Ecoride, Syed Ahmad Syed Mustafa berkata, melalui program Infrastruktur Shift Ecoride, syarikat itu diberi tempoh setahun ‘hak eksklusif’ untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.

Ujarnya, pemasangan pertama yang dilakukan di Mydin Mutiara Rini, Johor Bahru pada Disember lalu akan diteruskan di cawangan Pelangi Indah dan Taman Rinting di negeri sama selain menyasarkan cawangan lain seperti USJ, Subang Jaya, Selangor dalam masa terdekat.

“Hari ini menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha kami untuk menyediakan pengalaman perkhidmatan EV yang lancar dari awal hingga akhir di Malaysia. Peralihan kepada armada elektrik boleh menjadi satu cabaran.

“Peniaga dan pengendali biasanya tidak tahu di mana hendak bermula. Kami mahu ubah itu dengan menawarkan penyelesaian holistik yang bersesuaian dengan perniagaan dan keperluan operasi mereka.

No Image Caption

“Perkongsian ini adalah salah satu usaha kami sebagai agen perubahan mengubah sektor mobiliti yang akan meningkatkan nilai Mydin kepada pelanggannya dengan menyepadukan ekosistem mobiliti mampan dalam pengalaman membeli-belah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, bersama Mydin, Ecoride berikrar untuk memberikan impak yang mampan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengarah Hartanah dan Kewangan Mydin, Mohd Azwan Ahimmat, pihaknya menyokong agenda negara berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kekal berminat untuk menerokanya dalam menyusun strategi perniagaan yang ke hadapan.

“Kerjasama dengan Ecoride hari ini adalah manifestasi komitmen kami terhadap aspirasi negara ke arah pelepasan karbon sifar melalui inisiatif hijau.

“Kami mengesahkan untuk mengambil hala tuju lebih jauh merentasi semua pusat beli-belah Mydin pada masa hadapan,” katanya.